SEBURUK apapun masa lalu yang ditempuh penyanyi, Adira Suhaimi, dia tidak pernah menutup hati untuk jatuh cinta. Siapa gerangan pemilik hatinya selepas ini, baik kembali kepada bekas suami, Datuk Seri Adnan Abu atau dengan yang baru. Tiada siapa yang tahu.
Menjejaki usia 32 tahun, penyanyi Ilusi itu semakin matang menilai seseorang. Bukan duit atau pangkat yang dikejar, tapi cukuplah seorang lelaki yang rajin mencari rezeki dan menerima keluarga kecilnya.
“Saya ibu tunggal anak empat. Orang kena fikir banyak kali kalau mahu bersama saya. Maklumlah yuran sekolah pula sudah berapa ringgit. Orang itu kena terima anak saya.
“Kalau bercakap tentang ciri-ciri suami idaman, jujurnya saya tiada spesifik di dalam kepala. Cukuplah jika orang itu rajin dan bertanggungjawab. Tidak semestinya kaya kerana soal wang, saya sendiri boleh cari.
“Kalau pendapatannya mungkin tidak seberapa, dia boleh menyumbang tenaga contohnya tolong masak, cuci baju atau jaga anak.
“Kerjasama dan komunikasi adalah penting jika ada rezeki untuk berkahwin lagi. Ia lebih penting kerana wang ringgit bukan segalanya,” katanya.
Adira ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media konsert A Night With Sumandak Stars di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tidak menjaja aib di media sosial walaupun sudah berpisah dengan bekas suami April lalu, Adira atau Siti Adira Suhaimi mahu menjaga hubungan baik demi kesejahteraan empat orang anak, Anggrek, 5, Asan, 4, Anggun, 3 dan Ayoub, 2.
“Saya memilih untuk tetap meneruskan hubungan baik kerana banyak hati yang perlu saya jaga terutamanya anak-anak.
“Soal jodoh ini sudah ketentuan, jika masyarakat di luar sana mahu menjadikan kami sebagai contoh, Alhamdulillah. Itu sahaja yang boleh saya katakan,” jelasnya.
Artis Sabah di puncak kerjaya
Minggu ini menyaksikan beberapa artis kelahiran Sabah menerima Anugerah Darjah Kinabalu (ADK) sempena ulang tahun Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Tun Juhar Mahiruddin yang ke-71 iaitu Stacy Anam, Marsha Milan, Velvet dan Elicia Paujin.
Anugerah ini secara tidak langsung membuktikan anak seni juga mempunyai pengorbanan yang signifikan dalam pembangunan negeri itu.
“Saya pernah menerima anugerah yang sama daripada kerajaan Sabah tahun lalu.
“Saya turut berbangga dengan rezeki yang diperoleh kawan-kawan. Sebagai anak Sabah, saya selalu mendoakan yang terbaik buat rakan artis,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adira merupakan salah seorang daripada enam penyanyi yang bakal membuat persembahan di konsert A Night With Sumandak Stars.
Turut sama menjayakan konsert pada 30 November di Zepp KL ialah Marsha Milan, Bella Astillah, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie dan Didi Astillah.