Abon jual kangkung, ais krim untuk duit poket - Utusan Malaysia

Abon jual kangkung, ais krim untuk duit poket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK lama juga kita tidak mendengar khabar berita pelawak dan pelakon ini. Sharizan Ahmad atau Abon, ibaratnya terus menghilang dari dunia seni. Justeru saya dapatkan pelawak berusia 64 tahun ini. 

Pelawaan untuk ditemu bual disambut baik Abon yang sudah lama menyepi. Katanya, dia tidaklah hilang dari dunia seni, malah masih membuat persembahan. 

Bagaimanapun, benar telahan saya, Abon sudah terlalu jarang menerima tawaran berlakon atau muncul di kaca televisyen. 

“Banyak tawaran lakonan yang saya tolak disebabkan bayaran yang pada saya tidak setimpal. Mungkin ada netizen yang beranggapan saya tidak bersyukur. Hakikatnya mereka tidak faham keadaan artis lama seperti saya. 

“Dulu, memang persepsi saya negatif. Salahkan pihak lain sebab tidak panggil saya untuk program lawak, tiada tawaran menjadi juri. Tapi lama kelamaan, persepsi itu berubah. 

“Ada hikmah atas apa yang berlaku. Saya berlapang dada, kalau ada tawaran muncul di TV, saya tolak cara baik. Kecuali projek kawan-kawan yang sebelum ini pernah membantu saya,” katanya. 

Abon bersyukur, keputusan beralih ke bidang perniagaan membuahkan hasil. Kini, dia menarik nafas lega, pendapatan hasil jualan roti cukup menampung kehidupannya sekeluarga. 

“Beberapa tahun lalu, isteri saya membuat keputusan untuk sertai kursus membuat roti yang berjalan selama enam bulan. Dalam tempoh itu, saya guna duit simpanan untuk membeli rak, dulang, mesin uli dan ketuhar. 

“Selepas isteri tamat kursus, kami teruskan mulakan perniagaan. Alhamdulillah perniagaan berkembang, dengan produk roti kami dijual di 85 stesen Petronas seluruh negara. 

“Hasil jualan juga tidak menghampakan. Bayangkan dulu, kami mampu kutip hasil jualan sehingga RM1,800 untuk sebuah stesen Petronas. Itu belum lagi 84 stesen yang lain. 

“Saya percaya pada rezeki yang diberikan Allah. Walaupun kurang mendapat tawaran berlakon atau muncul di kaca TV, ada rezeki lain yang Tuhan turunkan untuk saya,” kongsinya. 

Tetapi, langit tidak selalunya cerah. Abon dan keluarga sebelum ini berdepan ujian yang paling berat apabila isterinya disahkan menghidap kanser payudara tahap awal. 

“Isteri pada waktu itu sudah mula tidak sihat, tidak lagi mampu menghasilkan stok roti dalam jumlah yang banyak. Kerana itu, kami terpaksa menghentikan jualan di stesen Petronas. 

“Tapi Alhamdulillah, Allah beri rezeki lain. Isteri saya disahkan bebas kanser selepas rawatan yang dilakukannya. Dan kini kami hanya menjual roti-roti yang kami hasilkan di gerai jualan sempena acara-acara besar,” katanya.

SERBA KEKURANGAN

Perbualan kami terarah kepada zaman kanak-kanak dan remaja pelawak kelahiran Jasin Melaka ini. Abon memaklumkan dia dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan, tanpa sekelumit pun rasa kemewahan ketika itu. 

“Ibu bapa saya menetap di Singapura pada awalnya. Selepas ibu melahirkan saya di Melaka, kami pulang ke Singapura kerana bapa saya perlu menyambung tugasnya sebagai askar British ketika itu. 

“Sebelum Singapura keluar Malaysia pada 1965, ayah saya diberi pilihan, sama ada kekal berkhidmat di Singapura, atau berpindah ke ibu pejabat ketenteraan British di Hong Kong. 

“Ayah saya bagaimanapun memilih untuk menyertai salah sebuah jabatan kerajaan sebagai pemandu dengan gaji bulanan sebanyak RM380. 

“Jadi, kami sekeluarga berpindah ke Johor Bahru pada 1967 sebelum berpindah pula ke Batu Pahat setahun kemudian. Saya dan adik beradik lain dibesarkan dan bersekolah di daerah itu sehingga ke peringkat menengah,” kongsinya. 

Abon sudah belajar erti berdikari sejak usia kecilnya lagi. Katanya, disebabkan kesempitan hidup, dia dan adik beradiknya yang sudah bersekolah ketika itu berniaga bagi mengumpul ‘duit poket’ masing-masing. 

“Bayangkan, pendapatan ayah sekadar RM380 tetapi perlu menyara 11 orang anak. Kami tidak merasa makan makanan mewah, makan sekadar apa yang ada. Tinggal pula di kuarters yang hanya dilengkapi dua bilik. Maka ada yang tidur di atas dan di bawah meja makan, selain bergelimpangan tidur di ruang tamu. 

“Saya termasuk tiga adik beradik lain sudah bersekolah waktu itu. Tapi walaupun gaji ayah kecil, 10 anaknya berjaya tamatkan persekolahan, kecuali anak keempat yang memilih bidang kemahiran. 

“Dan disebabkan kekangan kewangan, saya pernah dihalau keluar sekolah kerana tidak membayar yuran. Disebabkan itu, kami adik beradik yang sudah bersekolah ketika itu berniaga untuk mengumpulkan wang sendiri. Saya pernah berniaga di kaki lima, jual sayur kangkung yang saya petik belakang rumah selain menjual ais krim yang saya dapatkan stoknya daripada seorang peniaga Cina,” katanya.

BUKAN ORANG JAWA

Penglibatan Abon dalam bidang seni bertitik tolak pada tahun 1985 menerusi penyertaan dalam pementasan teater ketika dia bertugas di Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 

Antara pementasan terawalnya adalah Pegawai Khalwat arahan A. Ghani Abdullah. Kata Abon, dia tidak pernah bercita-cita menjadi orang seni, justeru pembabitan dalam bidang itu baginya satu kebetulan. 

“Sepanjang tempoh bertugas di DBP, saya belajar tentang teater dan lakonan. Kami tidak terus pulang ke rumah apabila habis waktu bertugas, sebaliknya kekal berada di pejabat berbincang mengenai karakter dan skrip. 

“Pelakon dahulu kebanyakannya bermula dengan teater. Saya juga berguru dengan penulis, A. Ghani Abdullah dan Matari Rahman. 

“Belajar lakonan bukan proses mudah. Penguasaan lontaran suara sahaja mengambil dua hingga tiga hari. Itu belum lagi mendalami penghayatan watak,” katanya. 

Nama Abon mula mencuri perhatian selepas kemunculannya dalam sitkom Flat Seri Wangi pada 1985. 

Katanya, dia tidak menyangka watak Abon popular sekelip mata meskipun selepas muncul pada episod-episod awal sitkom berkenaan. 

“Saya bukan orang Jawa. Tetapi ketika membesar di Batu Pahat, saya hidup berjiran dengan orang Jawa.Sebab itu, saya fasih berbahasa Jawa. 

“Penulis, Tan Sri Johan Jaafar nampak kesesuaian saya membawa watak Abon, seorang yang berpewatakan bodoh-bodoh alang dalam sitkom Flat Sri Wangi. Justeru, saya diberikan watak itu. 

“Itu adalah pembabitan pertama saya dalam penyiaran televisyen. Dan saya tak sangka, watak Abon itu mencuri perhatian, sampaikan ditulis di dada akhbar pada ketika itu,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya