910 premis makanan kotor diarah tutup

910 premis makanan kotor diarah tutup

Premis makanan
JKNS melakukan pemeriksaan terhadap premis makanan menerusi Operasi Premis Bersih (OPB) di sekitar Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 910 premis diarahkan tutup daripada 63,784 premis makanan diperiksa di seluruh negara oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana didapati kotor sepanjang penguatkuasaan pada tahun ini sehingga Jun lalu.

KKM dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 16,415 notis kesalahan dibawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.

Pada masa sama, katanya, sejumlah 84.7 peratus atau 79,818 pengendali makanan telah mendapat suntikan antitifoid berbanding 94,275 pengendali makanan yang diperiksa di seluruh negara.

“Tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap pengendali dan pemilik premis makanan yang gagal memenuhi keperluan perundangan berkaitan.

“Peruntukan bagi ciri-ciri kebersihan premis makanan, perkakas, amalan pengendalian oleh pengendali makanan dan pengangkutan makanan jelas diperincikan di bawah Peraturan Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 di mana terdapat 33 kesalahan boleh dikompaun.

“Mana-mana individu yang gagal membayar kompaun tersebut boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya hari ini.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan isu berkaitan amalan pengendalian makanan yang tidak baik oleh pengendali makanan seperti meludah ke dalam makanan dan tidak mendapatkan suntikan antitifoid.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang kotor atau tidak suci adalah arahan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari.

Ia di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 di mana individu yang ingkar arahan tersebut boleh didakwa dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya