8,500 premis ingkar Akta 852 - Utusan Malaysia

8,500 premis ingkar Akta 852

Akta 852
DZULKEFLY Ahmad ketika meninjau premis perniagaan dekat sebuah kawasan pusat perniagaan, di Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor, semalam.- UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sebanyak 8,500 premis di seluruh negara diberi amaran selepas dikesan mengingkari Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.

Kesemua premis itu antaranya melibatkan restoran makanan, klinik swasta, pendandan rambut dan farmasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesalahan itu dikesan pihaknya menerusi 283 operasi khas penguatkuasaan yang disertai 4,481 penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang lima hari pertama bulan ini.

“Kita (KKM) ketika ini belum lagi mengeluarkan kompaun terhadap premis namun lebih kepada amaran tegas mengenai Akta 852 tersebut dan memfokuskan kepada pendidikan dan bukannya kompaun.

“Amaran berbentuk literasi, pencerahan dan penjelasan itu akan dijalankan dalam tempoh enam bulan,” katanya pada program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Negeri Selangor di Puncak Alam, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan ramai peniaga mendakwa mengetahui penguatkuasaan Akta 852 dan masih mempamerkan pelbagai rokok secara terbuka di rak jualan.

Berdasarkan akta itu, terdapat beberapa peruntukan berkaitan penjualan produk rokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja yang bertujuan mengekang kebolehdapatannya.

Selain itu, ia melibatkan peruntukan berkaitan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta tempat larangan penjualan produk rokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.

Menurut Dzulkefly, pihaknya tidak lagi akan berkompromi mengambil tindakan tegas kepada mereka yang masih ingkar pada 1 April tahun depan.

“KKM mempunyai pasukan khas menerusi kekuatan 6,166 penguat kuasa yang bertugas menjalankan pemantauan menyeluruh di semua premis.

“Selain literasi mengenai peraturan baharu itu, kita akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri terlibat,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi itu turut memfokuskan tindakan penguat kuasaan terhadap individu yang merokok di tempat larangan.

“Sepanjang tempoh lima hari ini, kita sudah mengeluarkan kompaun ke atas 12 perokok yang melanggari akta tersebut. Bagi kesalahan merokok, ia tidak melalui penguatkuasaan pendidikan dan kita mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya