BUKIT MERTAJAM : Sebanyak 7,839 notis dengan nilai tawaran kompaun bernilai RM1.115 juta atas kesalahan berkaitan peraturan larangan merokok di premis awam termasuk kedai makan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Alias Abdul Aziz berkata, tindakan penguatkuasaan itu dikenakan terhadap tuan punya premis dan individu yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Katanya, dari awal Januari sehingga 30 September lalu, sebanyak 7,447 premis di negeri ini telah diperiksa manakala pihaknya turut merampas dan menyita hasil tembakau atas pelbagai kesalahan di bawah peraturan sama berjumlah RM11,413.45.
“Tujuan penguatkuasaan ini adalah bagi mengurangkan kesan buruk amalan merokok yang berleluasa. Ia termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja,”katanya semasa melancarkan Operasi Mega Bersepadu Akta 852 Peringkat Pulau Pinang di sini, hari ini.
Selain JKNPP, operasi yang diadakan secara dua peringkat bermula pada sebelah pagi itu turut membabitkan pegawai dan anggota daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebanyak 133 premis di sekitar Seberang Perai khususnya dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) dilawati termasuk di kawasan Inderawasih, Nagasari, Butterworth dan Seberang Jaya.
Mengulas lanjut, Dr. Alias berkata, pihaknya akan terus memantau dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan terutama di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu.
“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat komited untuk memastikan bahawa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan,” katanya.-UTUSAN