779 kes kemalangan maut babitkan pelajar - Utusan Malaysia

779 kes kemalangan maut babitkan pelajar

MOHD. Yusri Hassan Basri (tengah) bersama pelajar pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Op Khas Motosikal 2024 di SMK Anderson di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 779 kes kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah dilaporkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah tersebut adalah 20 peratus daripada 4,043 kes kemalangan jalan raya yang direkodkan bagi tempoh sama dalam negara.

“Jumlah kes yang dilaporkan ini bukan sekadar statistik tetapi ia mencerminkan kehilangan yang menyayat hati bukan sahaja bagi keluarga malah komuniti sekeliling.

“Bagi pihak JSPT, keadaan ini sudah tentu amat membimbangkan malah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Jadi, kita menyahut kebimbangan ini dengan mengadakan operasi khas kemalangan jalan raya yang memberi tumpuan kepada motosikal kerana ia menyumbang kes paling tinggi termasuk maut berbanding kenderaan jenis lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Op Khas Motosikal 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan statistik, seramai 498 orang pelajar terlibat dalam aktiviti lumba haram atau ‘mat rempit’ dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Katanya, pelajar yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan kebanyakan berusia 17 tahun ke bawah.

Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau berkata, Op Khas Motosikal 2024 yang dilancarkan di seluruh negara sejak 12 Ogos hingga 12 September lalu berjaya menurunkan kadar kemalangan maut apabila merekodkan 321 kes tahun ini berbanding 434 kes tahun lalu.

Malah katanya, jumlah kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal juga mencatatkan penurunan sebanyak 324 kematian berbanding 436 kematian tahun sebelumnya.

“Op khas kali ini menunjukkan penurunan kemalangan sebanyak 274 kes di mana 2,461 kes direkodkan pada tahun ini berbanding 2,735 kes tahun lalu.

“Dari segi umur pula, statistik merekodkan usia antara 16 hingga 20 tahun menunjukkan jumlah tertinggi dengan kemalangan sebanyak 487 kes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN