74 rakyat Malaysia berdepan hukuman mati di luar negara

74 rakyat Malaysia berdepan hukuman mati di luar negara

DATUK Seri Mohamad Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 74 rakyat Malaysia berdepan hukuman mati di luar negara dengan kebanyakan kes adalah membabitkan kesalahan penyeludupan dadah, setakat Oktober ini.

Antara negara  terlibat adalah Brunei, China, Indonesia, Laos, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan mengambil berat dan memantau kes konsular melibatkan rakyat Malaysia di luar negara.

Katanya, Kementerian Luar Negara (Wisma Putra) melalui perwakilan Malaysia akan membantu dalam memastikan kebajikan tahanan yang dijatuhi hukuman mati sentiasa terjaga.

Tambahnya, antara kaedah digunakan untuk memastikan kebajikan mereka terjaga adalah dengan menghadiri sesi perbicaraan atau menerusi lawatan konsular ke pusat tahanan secara berkala selaras dengan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963.

“Dalam hal ini, Perwakilan Malaysia di Luar Negeri boleh berkongsikan senarai firma guaman kepada sabjek dan waris sebagai rujukan dan bantuan untuk mendapatkan khidmat guaman berkenaan perbicaraan dan proses rayuan mereka. 

“Mana-mana individu yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati boleh mengemukakan rayuan atau permohonan pengampunan, sekiranya rayuan atau  pengampunan telah diperuntukkan dalam sistem perundangan negara asing tersebut. 

“Kementerian, melalui Perwakilan Malaysia di Luar Negeri, juga akan memastikan tahanan rakyat Malaysia mendapat akses kepada saluran-saluran rayuan dan pengampunan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH – Balik Pulau) berhubung bilangan rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati di luar negara.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, selaras dengan dasar luar Malaysia, Wisma Putra dan Perwakilan Malaysia di Luar Negeri tidak boleh campur tangan dalam urusan perundangan sesebuah negara asing.

“Pada masa sama, kita menghormati undang-undang yang digunapakai oleh negara tuan rumah, sebagaimana kita mahu negara-negara lain menghormati sistem perundangan di negara kita.

“Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri sentiasa menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau akan mengadakan perjalanan ke luar negara agar sentiasa berwaspada serta memahami peraturan dan undang-undang negara berkenaan bagi mengelakkan daripada terjebak dalam perkara yang tidak diingini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN