73 kem tentera ditawar Perajurit Broadband serendah RM49

73 kem tentera ditawar Perajurit Broadband serendah RM49

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah 73 kem melibatkan 59,420 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bakal menerima manfaat Perajurit Broadband menerusi pembangunan infrastruktur gentian optik atau Fibre to the Home (FTTH) serendah RM49 sebulan.

Inisiatif menerusi program Jalinan Digital Negara (Jendela) melibatkan peruntukan RM99 juta itu dilaksanakan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara ATM bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, akses kepada maklumat dan ruang komunikasi yang baik adalah pemangkin kepada proses pembangunan diri, hubungan yang erat dalam kehidupan serta kualiti lingkungan sosial yang lebih sejahtera.

“Dengan adanya akses kepada maklumat, proses pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan murah malah ruang dan peluang menjana pendapatan tambahan menjadi lebih lebar dan luas.

“Selain itu, kita juga akan menjadi masyarakat yang cakna, mengikuti perkembangan semasa dan berupaya untuk sentiasa menambah pengetahuan,” katanya pada Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband dan Penyerahan MoU antara ATM bersama SKMM.

Terdahulu, Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din menyerahkan MoU kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman sebagai simbolik jalinan kerjasama strategik itu.

Mengulas lanjut, Khaled Nordin berkata, perkhidmatan internet hasil daripada inisiatif itu bakal menawarkan harga yang berpatutan kepada warga ATM khususnya bagi anggota golongan B40.

“Saya juga sangat berbesar hati untuk kongsikan bahawa Inisiatif Perajurit Broadband bakal menyediakan pakej langganan harga mampu milik serendah RM49 dengan kelajuan 100 Mbps sebulan.

“Harga yang murah ini adalah satu pengiktirafan dan cara Kerajaan Perpaduan menghargai jasa serta pengorbanan warga ATM dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, skop utama inisiatif itu bagi meningkatkan kesalinghubungan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar gentian optik, perkongsian maklumat dan data, pelaksanaan latihan, serta program-program kesedaran dan pembangunan insan.

“Kemudahan ini akan memberi manfaat dalam aspek kemudahan pendidikan, komunikasi dan kesejahteraan hidup warga ATM,” katanya.

Tambah Fahmi, sebuah jawatankuasa pemantauan melibatkan ATM, SKMM, syarikat penyedia kemudahan dan syarikat perkhidmatan rangkaian akan ditubuhkan.

“Jawatankuasa ini akan berperanan sebagai pemantau kepada keseluruhan pelaksanaan projek serta memastikan tidak berlakunya pertindihan terhadap infrastruktur yang sedia ada,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya