KUALA LUMPUR: Seramai 645 guru pendidikan khas baharu mengisi kekosongan perjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 melibatkan 578 orang ditempatkan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi dan 67 orang ditempatkan di sekolah pendidikan khas di seluruh negara setakat Oktober tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengisian kekosongan itu menjadikan keseluruhan guru pendidikan khas di seluruh negara berjumlah 19,563 orang.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 11,142 merupakan guru pendidikan khas di sekolah rendah dan 8,421 guru pendidikan khas di sekolah menengah sekali gus menunjukkan kekurangan guru pendidikan khas telah dapat diatasi melalui pelbagai inisiatif.
“Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jawatankuasa Teknikal Pengambilan dan Penempatan Guru KPM telah melaksanakan langkah intervensi bagi mengatasi isu ini dengan lebih holistik, iaitu melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dalam memastikan lonjakan penambahan bilangan guru bagi memenuhi keperluan semasa dan menangani isu kekurangan guru pendidikan khas.
“Beberapa langkah intervensi yang telah dilaksanakan bagi mengatasi isu ini serta membolehkan KPM mempunyai lebih ramai calon guru berpotensi dilantik adalah perluasan kluster mata pelajaran (KMP) iaitu graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster sama.
“Pengambilan guru juga diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara serta penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengambilan dan Penempatan Guru KPM bagi mengenal pasti perubahan mencakupi aspek dasar, kurikulum, program dan enrolmen keperluan guru serta bertujuan memastikan keseimbangan dalam pengambilan dan penempatan guru sekolah KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM juga telah melaksanakan langkah intervensi terbaharu kementerian bagi mengatasi isu kekurangan guru pendidikan khas.
“Pertama, melalui pengambilan calon guru bagi Program Praperkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan program matrikulasi merangkumi pelbagai bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah mulai tahun ini
“Seterusnya, pelantikan guru secara kontrak (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan. Guru-guru lantikan CoS ini diberikan ilmu, kemahiran dan latihan melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun di institut pendidikan guru Malaysia (IPGM).
“KPM sentiasa komited dan proaktif dalam memastikan bekalan guru pendidikan khas mencukupi bagi melancarkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” katanya. – UTUSAN