SHAH ALAM: Seramai 637 pencari kerja melalui Program Karnival Kerjaya Jobcare Selangor disahkan penempatan mereka menerusi penganjurannya di seluruh negeri.
Program tersebut diteruskan pada Sabtu ini dengan menyasarkan penduduk di Kuala Selangor yang akan di adakan di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Puncak Alam.
Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) dalam kenyataannya berkata, sehingga kini program tersebut sudah pun dianjurkan di enam daerah iaitu Hulu Langat, Petaling, Kuala Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Klang.
Menurutnya, ia merupakan kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Selangor melalui Portal MYFutureJobs yang menyediakan maklumat terkini mengenai pasaran buruh, panduan gaji serta trend dan klasifikasi pekerjaan.
“Karnival Kerjaya Jobcare Selangor merupakan inisiatif Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu dan dianjurkan oleh UPPS bersama Perkeso Selangor, bertujuan mempercepatkan proses pengambilan
pekerja bagi pencari kerja.
“Seramai 637 peserta Jobcare memperoleh pekerjaan. Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan inisiatif yang dirangka oleh Kerajaan Negeri dalam membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan dengan lebih pantas dan mudah,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, UPPS memaklumkan pada penganjuran di Dewan MPKS, Sabtu ini, syarikat dari pelbagai industri membuka kaunter untuk menawarkan kekosongan jawatan terkini di organisasi masing-masing.
“Ia diikuti dengan sesi temuduga kerja yang akan berlangsung sepanjang hari. Para peserta digalakkan untuk membawa resume dan bersedia menghadiri temuduga dengan segera.
“Selain itu, terdapat kaunter khas yang menyediakan bimbingan bagi memperbaiki resume,” jelasnya.
Katanya lagi, Karnival Kerjaya Jobcare di Kuala Selangor nanti diharapkan dapat memberi peluang kepada lebih ramai peserta mendapat pekerjaan seperti yang dicapai dalam siri program di daerah lain sebelum ini.
“Kami menggalakkan orang ramai untuk hadir dan memanfaatkan peluang ini.
“Dengan kejayaan yang telah dicapai di daerah lain, Kerajaan Negeri Selangor berharap program itu akan terus memberi impak positif kepada para pencari kerja dan majikan,” ujarnya. – UTUSAN