LANGKAWI: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berjaya merekodkan 105 peratus hasil pelaksanaan operasi Banci Pertanian yang berakhir semalam selepas mula dilakukan sejak 7 Julai lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, hasil bancian melibatkan empat subsektor utama iaitu tanaman; ternakan; perikanan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan itu menjadi asas kepada penyediaan indikator keterjaminan makanan dan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR).
Menurutnya, tujuan utama bancian adalah untuk mendapatkan struktur dan ciri-ciri sektor pertanian yang komprehensif bagi pegangan pertanian dan ia memberi gambaran menyeluruh mengenai sektor pertanian negara.
“Kali terakhir bancian dibuat adalah pada 2005, pada peringkat awal banci ini, terdapat 1,197,309 pegangan pertanian terdiri daripada 1,177,556 atau 98.4 peratus isi rumah dan 19,753 atau 1.6 peratus pertubuhan perniagaan yang aktif.
“Setelah berakhirnya bancian ini, didapati sebanyak 1,256,593 atau 105 peratus kes yang ditemui dan sekali gus telah menemui tambahan 59,284 pegangan pertanian baharu berbanding senarai asal sebelum pembancian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi lawatan kerja lapangan ‘mopping-up’ Banci Pertanian 2024 di Menamah Agrojaya Sdn. Bhd. di Kampung Padang Gaong, Ulu Melaka, di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Uzir, meskipun tempoh banci di lapangan sudah berakhir, namun ‘mopping-up’ akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu sehingga 24 Oktober depan.
Beliau berkata, pihaknya akan bersama agensi pertanian terlibat akan turun ke 162 daerah seluruh negara bagi melakukan semakan dan pengesahan angka-angka bancian itu.
“Selepas ini, kita akan hasilkan pembangunan sistem pangkalan data sektor pertanian bagi memudahkan pelaksanaan sesuatu program yang ingin dilaksanakan,” katanya.
Ujarnya, Banci Pertanian itu juga akan dipastikan tidak berakhir pada tahun banci semasa sahaja sebaliknya mahu angka-angka itu terus dikemas kini secara berterusan.
“Kita telah berbincang dengan semua agensi pertanian dua minggu lepas dan ia akan disusuli dengan pengumpulan data berbentuk tinjauan dan persampelan yang membolehkan hasil maklumat secara berkala diperolehi dan dapat membantu dalam semua aspek berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Banci Pertanian di Kedah telah mencapai 105.8 peratus dengan pertambahan 4,719 kes baharu berbanding 81,780 senarai asal isi rumah.
“Langkawi merupakan daerah yang mencatatkan kadar tertinggi di negeri ini dengan 152.3 peratus, diikuti Kuala Muda 128.9 peratus dan Kulim 114.8 peratus,” katanya. – UTUSAN