BATU GAJAH: Polis Perak mengingatkan penyokong Perak dan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjaga tingkah laku di dalam dan luar stadium pada perlawanan Liga Super melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium Perak malam ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, ini bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Menurutnya, seramai 500 pegawai dan anggota polis ditempatkan di Stadium Perak dan kawasan sekitarnya untuk tujuan pengawalan keselamatan.
“Kita telah membuat persiapan dan pihak polis sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk menangani situasi di luar kawalan.
“Saya menasihati kedua-dua penyokong jangan bermusuhan di luar padang seperti yang dinyatakan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Perasmian Taman Angkat Amanita PDRM 2024 di Dewan Konvensyen Pusing di sini hari ini.
Menurutnya, penyokong kedua-dua pasukan dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan mematuhi arahan pasukan polis.
Beliau berkata, pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium, termasuk kawalan lalu lintas bagi mengelak kesesakan lalu lintas, selain tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat penonton yang melanggar arahan.
“Ini adalah acara, program yang sihat untuk negara, sihat untuk masyarakat termasuk individu.
“Kenapa harus dicemarkan dengan insiden yang tidak bermoral, tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak yang boleh disifatkan tidak cukup matang,” katanya. – UTUSAN