PENDANG: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Rakan Sukan, di sini ibarat rumah kedua buat 25 keluarga di Kampung Banggol Besi sejak 18 September lepas ekoran bencana banjir yang dianggap terburuk sejak 2021.
Lebih menyedihkan, fenomena banjir termenung atau banjir lambat surut yang melanda kawasan itu mengakibatkan rumah kira-kira 50 penduduk terlibat terus digenangi air sepanjang tempoh itu.
Salah seorang mangsa, Norsalawati Sabu, 39, berkata, rumah yang didiami bersama suami, Mohamad Rosdi Said, 45, serta enam anak dinaiki air secara mendadak sehingga paras pinggang apabila hujan bermula 16 September.
“Dua hari kemudian kami berpindah ke PPS selama 12 hari, selepas itu apabila PPS tutup kami terpaksa duduk di inap desa selama seminggu sebab nak balik rumah air belum surut. Pada 5 Oktober lepas kami kembali ke PPS sampai sekarang.
“Ini kejadian kedua terburuk. Kali pertama pada November 2021, banjir pada musim tengkujuh. Kami duduk di PPS selama 24 hari. Boleh dikatakan PPS ini sudah jadi rumah kedua kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut staf operator pembersihan swasta ini, walaupun situasi yang melanda menjejaskan kehidupan seharian namun mereka reda dengan bencana alam itu.
“Barang-barang memang rosak habis sebab digenangi air lama sangat. Anak-anak pun tak dapat ke sekolah dan semua menjejaskan kehidupan kami, tapi apa boleh buat. Kadang-kadang terpaksa redah juga walaupun risau ada haiwan berbisa,” ujarnya.
Sementara itu menurut seorang lagi penduduk, Rosliza Abd. Razak, 37, insiden banjir termenung itu adalah yang terburuk sejak 2010.
“Air masuk sehingga paras betis dalam rumah. Perabot dan perkakasan elektrik kami sempat pindahkan ke bahagian yang lebih tinggi. Masa 2010 pun macam ini juga lama baru air surut betul-betul. Kali ini pun sudah nak dekat sebulan air naik,” katanya.
Jirannya, Mohd. Fazli Abdullah, 52, turut berkongsi insiden sama namun keluarganya agak bernasib baik kerana rumah mereka terletak di kawasan yang agak tinggi.
“Selepas insiden 2010 dulu kami tinggikan sedikit rumah, jadi air tidak naik begitu tinggi tetapi pada 18 September lepas air masuk juga sampai dalam rumah. Dulu jarang jadi fenomena air lambat surut ini. Sekarang kerap sangat mungkin sebab kawasan rumah kami ini semakin rendah dan dikelilingi parit,” katanya.- UTUSAN