PETALING JAYA: Lima sekeluarga terperangkap apabila sungai mereka kunjungi untuk memancing dilanda kepala air ketika hujan lebat di Sungai Langat, Batu 11, Cheras, semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, Nazmir Mohd. Nor berkata, mereka tiba di lokasi berkenaan pada pukul 9.30 malam dan mendapati keluarga tersebut telah menyeberangi longkang ‘calvert’ yang terdapat di situ untuk memancing.
“Operasi menyelamat bermula pada pukul 10.30 malam sementara menunggu arus reda yang datangnya daripada Sungai Lui ke sungai mereka kunjungi semalam.
“Operasi itu disukarkan lagi apabila kawasan keluarga tersebut terperangkap di daratan seperti ‘pulau’. Selama 5 jam operasi tersebut dijalankan dan selesai pada pukul 2.30 pagi tadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, lima sekeluarga itu tiba di Sungai Langat pada pukul 5 petang untuk memancing sebelum hujan lebat serta ribut melanda kawasan terbabit pada pukul 8 malam.
“Kelima-lima ahli keluarga berkenaan tiada kecederaan dilaporkan namun seorang kanak-kanak dan ibunya mengalami trauma ketika operasi menyelamat menyeberang sungai terbabit,” katanya. – UTUSAN