48 laporan pelaburan emas babit kerugian RM26 juta di Kedah

48 laporan pelaburan emas babit kerugian RM26 juta di Kedah

FISOL Salleh pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Polis Kedah menerima 48 laporan berhubung penipuan sindiket pelaburan emas ‘pa jewellery’ dan ‘paddy jewellery’ membabitkan kerugian RM26 juta.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, laporan tertinggi diperoleh dari Kulim sebanyak 23 kes, sementara Kubang Pasu mencatatkan kerugian paling banyak berjumlah RM7.8 juta.

Menurut Fisol, sindiket tersebut kini lumpuh ekoran penahanan tujuh suspek termasuk dalang berusia 29 hingga 62 tahun dari 12 September hingga 22 Oktober lepas di negeri ini, Pulau Pinang dan Melaka.

“Sindiket ini dipercayai giat aktif sejak awal tahun, modus operandi adalah menawarkan emas 916 pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran iaitu RM190 hingga RM230 setiap gram. Mangsa mesti melabur tiga hingga lima bulan sebelum mendapat untung yang diperoleh daripada harga pasaran.

“Keuntungan bagaimanapun hanya untuk peringkat pertama sahaja sebelum mangsa merasa tertipu dan membuat laporan.

“Daripada laporan tersebut polis berjaya mengesan dan menahan kesemua suspek termasuk dalang yang merupakan seorang wanita berusia 37 tahun pada 22 Oktober di Bayan Lepas, Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.

Fisol berkata, turut ditahan adalah suami suspek utama itu yang juga berusia 37 tahun dan adiknya berumur 25 tahun di sekitar Kubang Pasu bersama empat lagi individu dipercayai bertindak sebagai ejen sindiket berkenaan.

“Ekoran penahanan tersebut polis juga merampas enam kenderaan mewah termasuk sejumlah wang tunai, barang kemas dan kad bank.

“Oleh itu polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpesona dengan tawaran emas seperti ini. Nampak cantik namun satu penipuan kerana keuntungan hanya pada peringkat pertama sahaja. Kita mengenalpasti mangsa juga terdiri daripada penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki kini dilanjutkan tahanan reman di Selangor berdasarkan laporan sama dari mangsa di negeri tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya