4,319 penerima bantuan i-Sejahtera terima bayaran esok - Siew Khim

4,319 penerima bantuan i-Sejahtera terima bayaran esok – Siew Khim

LIM Siew Khim (duduk, tengah) ketika sidang akhbar untuk mengumumkan pembayaran Fasa 3/2024 bagi program i-Sejahtera di George Town, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 4,319 penerima bantuan di bawah program i-Sejahtera Pulau Pinang akan menerima bayaran masing-masing secara pemindahan dana elektronik (EFT) mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,936 adalah penerima bagi Program Penghargaan Warga Emas (PPWE) dan 177 penerima lagi di bawah Program Bantuan Ibu Tunggal (PBIT).

Katanya,turut menerima bayaran ialah 780 penerima di bawah Program Suri Emas (PSE) dan 426 penerima Program bantuan orang kurang upaya (OKU) yang melibatkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM768,100.

“Pembayaran Fasa 3/2024 hanya akan dibuat kepada pemohon baharu yang mendaftar sebelum 30 Jun (lalu) dan orang ramai yang ingin mendaftar untuk program i-Sejahtera boleh berbuat demikian melalui laman sesawang https://isejahtera.penang.gov.my,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Siew Khim, permohonan yang dikemukakan selepas tarikh berkenaan iaitu 30 Jun bagaimanapun akan menerima bayaran masing-masing bagi fasa berikutnya iaitu Fasa 1/2025.

Sementara itu, beliau memberitahu, orang ramai boleh menyemak status pembayaran yang diumumkan secara berperingkat mulai 14 Oktober ini melalui laman sesawang i-Sejahtera selain digalakkan untuk menghubungi Pusat Khidmat Kerajaan Perpaduan yang berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang semakan status pembayaran tersebut.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri menyeru pemohon untuk mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan penerimaan bantuan untuk program i-Sejahtera berjalan lancar pada fasa berikutnya (Fasa 1/2025),” katanya.

Jelas Siew Khim, kerajaan negeri sentiasa prihatin akan keperluan harian rakyat, dengan matlamat memastikan bantuan kebajikan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Di samping itu, kerajaan negeri juga komited untuk terus menjamin kebajikan rakyat Pulau Pinang dan menambah baik dasar-dasar kebajikan negeri,” katanya yang memaklumkan, maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Pegawai Unit i-Sejahtera di talian 04-650 5699/5700 atau hadir ke pejabat di Tingkat 46, Komtar pada waktu bekerja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya