420,000 hektar tanaman getah terbiar akan diusahakan semula - Utusan Malaysia

420,000 hektar tanaman getah terbiar akan diusahakan semula

JOHARI Abdul Ghani beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di Baling. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan berusaha untuk memastikan 420,000 hektar tanaman getah yang sudah matang namun tidak ditoreh diusahakan semula bagi meningkatkan pengeluaran getah asli tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting untuk dilaksanakan kementerian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta agensi berkaitan dalam memperkasakan kembali industri getah negara.

Beliau berkata, negara ketika ini mengimport getah asli lebih banyak berbanding pengeluaran tempatan sedangkan mempunyai keluasan tanaman getah kira-kira 1.1 juta hektar.

“Berbeza dahulu, Malaysia merupakan salah satu pengeluar utama getah asli dunia, namun kini Malaysia menjadi net importer bagi getah asli.

“Usaha kenal pasti tanaman yang tidak ditoreh sedang dilaksanakan. Antara alasan diberikan bila ditanya pihak LGM adalah harga getah murah, penoreh uzur dan sudah tak larat nak bekerja, kawasan kebun penuh lalang.

“Walau apa pun kita akan kenal pasti dan cari jalan penyelesaian. Ia penting untuk meningkatkan pengeluaran getah tempatan, seterusnya berupaya untuk mengurangkan jumlah import getah asli dari negara luar seperti Thailand dan Vietnam,” katanya pada Majlis Pelancaran Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR), di sini hari ini.

Johari berkata, Malaysia pada tahun lalu menghasilkan 348,000 tan metrik getah asli namun pada masa sama mengimport satu juta tan metrik komoditi itu yang bernilai hampir RM6 bilion.

Sementara itu, mengenai MSNR, ujar Johari, ianya merupakan pengiktirafan secara kawal selia dan penguatkuasaan yang diberikan kepada pemegang lesen dan permit LGM yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.

“Pengiktirafan tersebut untuk memastikan getah yang dihasilkan dapat memasuki pasaran dunia sebagai produk mampan berdaya saing.

“LGM bermula pada 1 Julai lalu telah giat menjalankan pemeriksaan pematuhan MSNR dalam kalangan pemegang lesen LGM termasuk pekebun kecil getah melalui kaedah bancian bersemuka serta pengumpulan maklumat lokasi kebun dan premis,” jelasnya.

Katanya, menerusi penguatkuasaan MSNR itu, pemegang lesen dan permit LGM akan dikenakan syarat pematuhan terhadap lima prosedur operasi standard (SOP).

“Ia termasuk tiada penebangan hutan untuk penanaman getah, penanaman getah berpandukan Kanun Tanah Negara, kemampanan alam sekitar, pematuhan sosial atau hak asasi pekerja serta  kebolehjejakan rantaian bekalan,” ujarnya.

Tambahnya, pengiktirafan MSNR secara tidak langsung dapat menjadikan produk getah mampan keluaran Malaysia akan berpotensi dilihat sebagai produk premium dengan nilai tambah yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya