4.1j nikmati bantuan tambahan, tiada lagi pendapatan bawah RM1,100 sebulan

4.1j nikmati bantuan tambahan, tiada lagi pendapatan bawah RM1,100 sebulan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan terus menangani kos sara hidup yang semakin meningkat dengan menambah bantuan tunai menerusi pelbagai inisiatif ekonomi dan memberi jaminan selepas ini tidak ada lagi rakyat berpendapatan kurang RM1,100 sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seramai 4.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan tambahan melalui program baharu yang dikenali sebagai SARA (Sumbangan Asas Rahmah).

“Dengan penggabungan STR dan SARA, kadar maksimum bantuan untuk isi rumah dinaikkan kepada RM4,600 iaitu satu peningkatan signifikan dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

“Bantuan kepada golongan warga emas juga mendapat perhatian dengan kadar bantuan dinaikkan kepada RM600 sebulan bertujuan memastikan warga emas yang tiada pendapatan atau sokongan keluarga mendapat bantuan mencukupi untuk menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya menerusi laman Facebook milik beliau, hari ini.

Terdahulu, kerajaan memberikan peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM 10 bilion menerusi Belanjawan 2025.

Kata beliau, peningkatan tersebut memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.

Sebanyak 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, berbanding 700,000 penerima pada tahun ini.

Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bermula April 2025 dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

“Kategori bujang akan menerima STR RM600. Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700

Mengulas lanjut, Anwar berkata, bantuan untuk kanak-kanak dalam kalangan keluarga miskin turut ditingkatkan yang mana bagi kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, bantuan dinaikkan kepada RM250.

Manakala, bagi mereka yang berumur antara tujuh hingga 18 tahun, bantuan dinaikkan kepada RM200.

“Langkah ini bertujuan meringankan beban keluarga miskin dalam memastikan pendidikan dan kebajikan anak-anak mereka terus terjaga.

“Bagi penerima di Wilayah Persekutuan, kadar Bantuan Am juga dinaikkan kepada RM150. Ini bagi memastikan lebih banyak keluarga dapat menerima manfaat langsung dari peningkatan kebijakan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Anwar berkata, melalui penggabungan pelbagai inisiatif seperti STR, SARA dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan memberi jaminan tiada rakyat akan mempunyai pendapatan kurang RM1,100 sebulan.

“Ini belum mengambil kira bantuan tambahan yang disediakan melalui Zakat, Yayasan dan kerajaan negeri.

“Langkah ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup serta memastikan rakyat daripada semua lapisan masyarakat menerima bantuan sewajarnya untuk menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya