PETALING JAYA: Menerusi rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), seramai 33,807 orang tahanan warga asing di semua depot imigresen di seluruh negara telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing setakat 30 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka terdiri daripada 24,542 lelaki dewasa, 8,087 wanita dewasa, 681 kanak-kanak lelaki dan 497 kanak-kanak perempuan.
Kata beliau, warganegara Indonesia merupakan tahanan paling ramai iaitu seramai 14,583 orang (43.1%).
“Tahanan yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah akan dirujuk terlebih dahulu kepada pihak UNHCR bagi tujuan pengesahan dan sebelum dibebaskan.
“Pengesahan daripada pihak UNHCR dibuat sebagai langkah memastikan penghantaran pulang tahanan tidak melanggar prinsip non-refoulment,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Tuan Tan Hong Pin (PH-Bakri), hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, JIM sentiasa berusaha melaksanakan penghantaran pulang tahanan dengan segera melalui jalinan kerjasama dengan perwakilan asing untuk urusan pengeluaran dokumen perjalanan kepada tahanan sebelum dihantar pulang.
“Pemindahan pulang tahanan di depot imigresen dilaksanakan berdasarkan arahan tetap Ketua Pengarah Imigresen mengenai pentadbiran dan pengurusan depot imigresen,” katanya. – UTUSAN