30 rumah di Masjid Tanah rosak teruk dibadai ribut

30 rumah di Masjid Tanah rosak teruk dibadai ribut

KEADAAN bumbung yang rosak dibadai ribut kencang di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Lebih 30 buah rumah di Kampung Permatang Darat Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah dekat sini rosak teruk termasuk bumbung tercabut dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda awal pagi tadi.

Tok Sidang Kampung Permatang Darat, Zaidi Buang, 52, berkata, angin kencang mula membadai rumah terbabit bermula pukul 3.30 hingga 4.15 pagi sewaktu semua penduduk sedang nyenyak tidur.

Menurutnya, bermula pada pukul 3.30 pagi hujan lebat disertai angin menyebabkan bumbung rosak dan ada yang tercabut selain beberapa buah restoran berdekatan turut terjejas.

Katanya, angin paling kencang membadai kesemua rumah dalam tempoh 15 minit iaitu antara pukul 4 hingga 4.15 pagi tetapi tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

“Suasana menjadi kelam-kabut apabila penduduk keluar dari rumah meminta tolong sejurus angin dan hujan reda. Masing-masing terkejut melihat bumbung rosak dan ada yang diterbangkan angin kencang.

“Saya pergi meninjau dan mendapati antara 20 hingga 30 buah rumah yang rosak teruk malah ada penduduk tidak boleh bermalam kerana ketiadaan bumbung.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi ,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang warga emas Nafisah Diron, 70, berkata, semasa terjaga dari tidur dia terkejut mendengar angin sangat kencang melanda rumah dua bilik bersama cucunya berusia 12 tahun.

“Makcik tengok di ruang tamu cermin sliding di pintu masuk pecah, kerusi sofa dan meja berselerak terkena angin kencang.

“Mujur makcik berselindung di ruang tengah perasaan sangat takut ketika itu. Makcik tak dapat buat apa-apa sebab angin terlalu kencang,” katanya.

Ujarnya, keadaan menjadi teruk apabila bekalan elektrik terputus dan dia bersama cucunya duduk mendiamkan diri hingga keadaan reda kira-kira pukul 4.45 pagi.

Katanya, bila siang dia terkejut melihat bumbung dapurnya turut tercabut dan perkakas dapur berselerak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN