30 gajah liar rosakkan kereta dihalau semula ke hutan - Utusan Malaysia

30 gajah liar rosakkan kereta dihalau semula ke hutan

KEADAAN kereta yang rosak akibat diserang gajah liar di JRTB Gerik-Jeli di Gerik semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Kira-kira 30 ekor gajah liar ‘dihalau’ semula ke dalam hutan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas dipercayai merosakkan kenderaan yang melalui Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, malam tadi.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, Unit Tindakan Gajah (UTG) Gerik dihantar ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima aduan pada pukul 10 malam.

Katanya, tindakan segera diambil dengan membuat kawalan di lokasi seterusnya menghalau semula kumpulan gajah itu masuk ke hutan berhampiran.

“Kawanan gajah dianggarkan antara 25 hingga 30 ekor itu merupakan gajah liar daripada ID Kumpulan Temengor yang menjadikan Hutan Simpan Temengor sebagai kawasan keliaran.

“Lapan kakitangan UTG Gerik telah ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran Tugu Peringatan JRTB bagi membuat tindakan tembak dan halau haiwan itu masuk semula ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, sebanyak lima kenderaan dilaporkan rosak selepas diserang sekumpulan gajah liar di Kilometer 11, JRTB Gerik-Jeli sekitar pukul 9 malam, malam tadi.

Insiden itu menyebabkan kenderaan terlibat mengalami kerosakan dan kemek di beberapa bahagian.

Kejadian sebelum Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 9 Sungai Lebey menuju ke Gerik itu bagaimana pun tidak melibatkan kecederaan mahupun kemalangan jiwa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN