3 beradik ditahan dakwaan pelajar tahfiz jadi mangsa buli, gangguan seksual

3 beradik ditahan dakwaan pelajar tahfiz jadi mangsa buli, gangguan seksual

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga beradik ditahan polis kelmarin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan empat pelajar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah melarikan diri selepas menjadi mangsa buli dan gangguan seksual.

Mereka yang ditahan merupakan pelajar di pusat tahfiz berkenaan berusia antara 13 tahun sehingga 20 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, penahanan ketiga-tiga beradik itu dilakukan di rumah mereka.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 20 tahun dibawa ke mahkamah semalam dan dibenarkan tahanan reman sehari.

“Suspek kedua dan ketiga pula tidak direman kerana mereka bawah umur.

“Ketiga-tiga beradik itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 7 petang semalam setelah keterangan mereka diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan daripada doktor perubatan.

Semalam, polis mengesahkan terdapat kesan kecederaan terhadap empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu dipercayai menjadi mangsa dera dan seksual.

Dapatan itu diperoleh selepas pemeriksaan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin dan menemukan kesan kecederaan ke atas remaja berusia 13 hingga 14 tahun itu.

Kesemua pelajar berkenaan dibawa ke HKL sebaik mereka ditemukan di Bangi atas persetujuan keluarga untuk menjalani pemeriksaan.

Pemeriksaan awal polis menemukan kesan kecederaan yang dipercayai berlaku dalam tempoh mereka berada di pusat tahfiz terbabit.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Terdahulu, empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemukan semula pada Khamis lalu.

Kesemua pelajar itu ditemukan orang awam pada pukul 11.58 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya