244 rumah rosak dilanda ribut

244 rumah rosak dilanda ribut

KEADAAN sebuah rumah yang mengalami kerosakan di bahagian bumbung di Kampung Gong Pauh, Chukai, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sebanyak 244 buah rumah di sembilan kampung di Chukai,  terjejas teruk dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku di kawasan itu, petang semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, sembilan kampung yang terjejas  ialah Kampung Gong Pauh, Kampung Gong Limau, Kampung Pengkalan Pandan dan Kampung Kubang Kurus.

Katanya, lima lagi kampung ialah Kampung Bakau Tinggi, Kampung Jalan Dato’, Kampung Besut, Kampung Tuan serta Kampung Besut 2. 

“Kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda kira-kira pukul 4 petang semalam menyebabkan banyak atap kediaman penduduk diterbangkan angin dan banyak juga bumbung rumah yang ditimpa pokok. 

“Rekod menunjukkan Kampung Gong Limau paling banyak rumah mengalami kerosakan bumbung iaitu sebanyak 95 buah rumah diikuti Kampung Gong Pauh 50 buah dan Kampung Besut sebanyak 40 buah rumah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Hanafiah berkata, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Sivik Kampung Gong Pauh dengan menempatkan tujuh buah keluarga berikutan kediaman mereka tidak dapat diduduki ekoran bumbung rumah diterbangkan angin dan hampir keseluruhan kediaman mereka dipenuhi air hujan

“Hari ini, sebanyak 17 kumpulan kontraktor akan turun padang membaiki kerosakan rumah penduduk secara berperingkat.

“Kerja-kerja pembersihan di kawasan kampung serta sekolah yang terjejas juga akan dilakukan dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, banyak fasiliti termasuk papan tanda, tiang elektrik turut terbalik dan khemah perniagaan juga diterbangkan angin dan dihempap pokok tumbang. 

Kejadian turut menyebabkan seorang mangsa, Mohd Firdaus Abu Hassan, 35, dari Manir, Kuala Terengganu, patah kaki kanan selepas bumbung wakaf di Pantai Teluk Mak Nik tempat dia berteduh ketika kejadian, tiba-tiba runtuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN