216 helmet ARAI tiruan bernilai RM54,000 dirampas

216 helmet ARAI tiruan bernilai RM54,000 dirampas

SEORANG anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang memeriksa topi keledar berjenama MHR yang mengandungi tanda karya seni 'ARAI' di sebuah premis di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 216 unit topi keledar berjenama MHR yang mengandungi tanda karya seni ‘ARAI’ telah disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dalam satu serbuan di sebuah premis di Sungai Bakap, Nibong Tebal, semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, selain KPDN, serbuan terbabit turut melibatkan wakil pemilik hak cipta jenama Jepun itu di negara ini.

Jegan berkata, siasatan awal mendapati, premis terbabit menjalankan perniagaan sebagai pemborong untuk helmet dan aksesori motosikal.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan kemudiannya menemukan sejumlah topi keledar dalam milikan yang disyaki adalah salinan langgaran karya seni.

“Sehubungan itu, kesemua topi keledar berkenaan terpaksa disita dengan jumlah sitaan keseluruhan sebanyak RM 54,000. Kes tersebut disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jegan memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan di bawah akta berkenaan.

Jelas beliau, sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kesalahan yang berikutnya pula boleh menyebabkan mereka yang didapati bersalah didenda antara RM4,000 hingga RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Justeru, kata Jegan, masyarakat juga diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti memiliki salinan langgaran tanpa kebenaran oleh pemilik karya.

Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan aduan dan maklumat kepada pihak KPDN melalui saluran WhatsApp 019-848 8000 / 019-279 4317 atau Portal Aduan e-aduan.kpdn.gov.my selain menghubungi Call Centre : 1-800-886-800.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya