21 pegawai SPRM daftar sebagai kohort pertama pelajar ELMU

21 pegawai SPRM daftar sebagai kohort pertama pelajar ELMU

KASSIM Noor Mohamed (empat dari kiri) bergambar bersama pelajar baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Seramai 21 orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari seluruh negara mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama pelajar baharu Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), universiti penguatkuasaan undang-undang yang pertama di wilayah Asia.

Naib Canselor ELMU, Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, enam orang pelajar daripada agensi penguatkuasaan itu mengikuti pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda manakala 15 orang lagi mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana secara separuh masa.

“Mereka merupakan sebahagian daripada sejumlah 40 orang pelajar kohort pertama yang mendaftar sebagai pelajar ELMU. Mereka berada di kampus ini sebagai kumpulan perintis bagi memulakan perjalanan baharu.

“Semua yang hadir di ELMU; pelajar, tenaga akademik, kakitangan ELMU dan saya sendiri bertuah kerana berpeluang mengukir sejarah sambil menempa laluan yang menarik untuk masa depan kita,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Kassim menjelaskan bahawa pelajar berkenaan yang menerima biasiswa separa daripada ELMU Foundation dengan kerjasama Yayasan Prihatin SPRM mengangkat sumpah selepas majlis taklimat dan orientasi universiti itu baru-baru ini.

“Itulah saat yang paling membanggakan kami di ELMU apabila mereka sebagai pelajar kohort pertama memulakan perjalanan akademik yang akan merubah masa depan mereka,” tambahnya.

Sementara itu, semua pelajar baharu di bawah program tajaan berkenaan menyambut baik usaha kedua-dua yayasan itu berkerjasama bagi meningkatkan tahap kerjaya para pegawai SPRM di seluruh negara.

Mohd. Suhaimi Mohamed Yusof, 42, yang mengikuti pengajian Bachelor in International Law Enforcement (Honours) berkata sebab utama beliau menyambung pelajaran ialah demi meningkatkan kerjayanya.

“Bagi saya, belajar akan membuatkan otak kita sentiasa berfikir serta lebih kritis dan kreatif dalam memberi pandangan dan membuat keputusan. Belajar ilmu baharu akan memberi satu idea dan perspektif yang baharu.

“Selain itu, saya juga mahu melatih diri saya untuk lebih berdisiplin dalam sesi pembelajaran, disiplin dalam pengurusan masa, kewangan dan menepati masa. Belajar juga merupakan tuntutan agama, jadi secara tidak langsung saya cuba menjadi seorang manusia yang menjurus ke arah yang lebih baik, insya-Allah,” katanya.

Suhaimi yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Kanan Penguasa di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya berkata beliau memilih ELMU kerana selain tawaran dan peluang yang diberikan oleh jabatan, ELMU adalah sebuah universiti yang mampu melahirkan lulusan yang berkualiti walaupun baru beroperasi.

“Tenaga pengajar yang sangat berpengetahuan dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing sudah pasti mampu memberikan pendedahan dan perkongsian yang baik dan berimpak tinggi kepada pelajar, setanding dengan universiti-universiti yang ada di Malaysia mahupun pada peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Penolong Pesuruhjaya SPRM yang berasal dari Sarawak, Moses anak Lawrence, 49, pula berkata beliau ingin menguasai kemahiran dalam bidang penguatkuasaan undang undang dengan lebih mendalam.

“Dengan perkembangan semasa dan teknologi yang berkembang maju, ELMU dilihat mampu berfungsi sebagai paksi pembangunan sesebuah organisasi yang berteraskan kepada penguatkuasaan undang-undang.

“Ini selaras dengan salah satu dasar kerajaan berteraskan pengurusan nilai dalam melahirkan pegawai penguatkuasa undang-undang yang dapat membentuk serta mengorientasikan pemikiran analitik, kritis dan kreatif,” katanya yang juga mengambil mengambil Bachelor in International Law Enforcement (kepujian).

Bapa kepada dua orang anak ini yang telah berkhidmat selama 25 tahun di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya berkata, beliau memilih bidang pengajian berkenaan kerana kursus itu bukan sahaja mendedahkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran dalam bidang penguatkuasaan undang-undang tetapi turut mendidik pelajar melaksanakan tugas secara profesional, berintegriti dan telus.

“Ini bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan, dasar sedia ada serta keperluan masa hadapan. Program ini amat signifikan terhadap penentu kecemerlangan organisasi penguatkuasaan undang-undang.

“Secara umumnya, pembangunan program ini dilihat mampu meningkatkan stuktur kemahiran dan pengetahuan serta pemerkasaan sikap penguatkuasa undang-undang,” tegasnya.

HALIZA SAHAFIAI

Sementara itu, pelajar sarjana in Criminology and Criminal Justice, Haliza Sahafiai, 41, berkata dia memilih untuk menyambung pelajaran di ELMU kerana universiti itu adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian yang khusus dalam bidang penguatkuasaan undang-undang yang sangat relevan dengan tugasnya di SPRM.

“Sebagai penjawat awam yang bertugas dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, sebelum ini di Jabatan Imigresen dan sekarang di SPRM, sudah pasti ELMU menjadi pilihan terbaik untuk mendalami ilmu dalam bidang yang saya minati,” kata ibu kepada empat anak yang kini berkhidmat sebagai Ketua Cawangan SPRM Sungai Petani, Kedah.

Majlis Orientasi ELMU bagi kohort sulung itu diketuai oleh pelajar Master of Science in Intelligence and Surveillance, Noor Mohamed Mohd. Kassim, 44, yang telah berkhidmat selama 19 tahun dengan Polis Diraja Malaysia.

ELMU yang menerima kelulusan operasi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi pada Februari 2024 menawarkan sebelas program pengajian pada peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya