KUALA TERENGGANU: Seramai 2,060 pelajar baharu program Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2024/2025 mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 238 pelajar adalah pelajar lepasan Asasi Sains (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) universiti tersebut.
Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, pihak pengurusan UMT komited dan memberi jaminan dalam memastikan pelajar dapat mengikuti alam kampus dengan baik serta dapat menghabiskan pembelajaran dengan cemerlang di UMT.
“Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan berlangsung pada 1 hingga 5 Oktober untuk pelajar mengikuti sesi taklimat merangkumi sesi pengenalan berkaitan akademik dan hal ehwal pelajar.
“Mereka juga akan terlibat dengan pelbagai aktiviti antaranya sukan dan kesenian serta dibawa melawat fakulti masing-masing.
“Saya mengharapkan para pelajar cepat menyesuaikan diri di alam kampus dan dapat meneroka lebih banyak peluang dalam bidang kokurikulum bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata malah dapat melahirkan graduan yang holistik serta bersedia untuk berada di alam pekerjaan kelak,” katanya.
Pada tahun ini, UMT turut menawarkan program pengajian baharu untuk pengambilan sesi Akademik 2024/2025 iaitu Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian dan menerima pelajar sulungnya seramai 82 orang untuk sesi ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd. Zain bersama pihak pengurusan universiti sama-sama turun padang bagi meninjau proses pendaftaran dan kemasukan pelajar ke kampus UMT dan sempat beramah mesra dengan para pelajar dan ibu bapa.
“Alhamdulillah seawal pukul 7.30 pagi, para pelajar bersama keluarga telah bersedia untuk sesi pendaftaran di Dewan Sultan Mizan (DSM) dan disambut oleh para petugas.
“Proses pendaftaran dan kemasukan pelajar juga berjalan lancar dengan kerjasama petugas seramai 350 orang yang merupakan fasilitator dalam kalangan pelajar senior, staf dan sukarelawan,” katanya. – UTUSAN