20 agensi berkumpul, rungkai bunyi dentuman di Ipoh - Utusan Malaysia

20 agensi berkumpul, rungkai bunyi dentuman di Ipoh

AZIZI Mat Aris (kiri) semasa sidang akhbar pada Festival Kesenian Islam Nasyid PDRM Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 20 buah agensi kerajaan dan badan swasta tempatan dipanggil untuk merungkai punca bunyi dentuman di Ipoh pada Isnin lalu yang masih misteri sehingga kini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya telah memanggil kesemua 20 organisasi tersebut untuk bermesyuarat pada Selasa depan bertempat di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Ketika ini tiada bukti-bukti sahih untuk mengenal pasti punca gegaran. Saya akan dapatkan pengesahan daripada semua agensi ini dan selepas itu saya akan buat kenyataan susulan untuk dihebahkan kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Baginya langkah itu penting untuk menyediakan laporan dan jawapan kepada kesemua pihak berkepentingan termasuk orang awam.

Pada Isnin lalu, media melaporkan penduduk Ipoh cemas akibat merasai gegaran selama beberapa saat disusuli bunyi kuat seakan dentuman di bahagian atas bangunan sekitar pukul 11.06 pagi.

Didakwa terbabit dirasai di beberapa lokasi sehingga ada yang mengakui gegaran itu dirasai atau didengari sehingga di luar Ipoh.

Ditanya adakah organisasi asing akan turut terlibat dalam mesyuarat pada Selasa ini, Azizi berkata ia terserah kepada agensi atau badan swasta yang akan terlibat dalam perjumpaan tersebut.

Sementara itu, beliau mengesahkan satu daripada kes culik yang didakwa berlaku di Kampung Padang di Gerik pada 22 Oktober lalu adalah sekadar rekaan oleh pengadu yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Azizi bagaimanapun berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan kerana terdapat satu lagi kes cubaan menculik yang didakwa melibatkan kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran pada 21 Oktober.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN