2 pengikut `Tuhan Harun' dipenjara 40 tahun

2 pengikut `Tuhan Harun’ dipenjara 40 tahun

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua pengikut ajaran sesat `Tuhan Harun’, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan mereka dipenjara maksimum 40 tahun kerana membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek, 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian terhadap Shamsinar Abdul Halim, 47, dan Sumustapha Suradi, 50, selepas membenarkan permohonan semakan untuk mengetepikan hukuman mati yang diputuskan terhadap mereka.

Beliau yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara memerintahkan Shamsinar dikenakan 12 sebatan.

Mahkamah memerintahkan Shamsinar menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 22 Februari 2014 manakala Sumustapa yang juga bekas anggota polis dipenjara bermula pada 27 November 2013.

Mereka dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2016 selepas didapati bersalah membunuh Ahmad Raffli, 49. Mangsa ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pada 10 November 2013.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya K. Roshan membantah permohonan semakan atas alasan pembunuhan tersebut dirancang terlebih dahulu dalam usaha mengagalkan tindakan penguatkuasa agama membanteras ajaran sesat di negeri di Pahang.

Hujah beliau, hukuman pemenjaraan tidak wajar diberikan kerana tindakan kedua-duanya membawa kesan besar terhadap gerakan penguatkuasaan menghapuskan ajaran sesat.

“Mangsa dibunuh dalam kapasitinya sebagai pegawai penguasa agama. Hukuman berbentuk pengajaran perlu dikenakan selain melindungi nyawa penguat kuasa ketika bertugas,” hujah Roshan.

Terdahulu, peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Sumustapha memohon permohonan itu dibenarkan atas alasan kes tersebut tidak tertakluk di bawah prinsip `kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan mahkamah mengekalkan hukuman mati.

Peguam berhujah, pembunuhan itu bukan dirancang oleh kedua-dua pemohon melainkan mereka hanya mengikut arahan ketua ajaran sesat, `Tuhan Harun’ untuk menghapuskan mangsa.

Dalam hujahan bertulisnya, Abdul Rashid menyatakan, Sumustapha yang sebelum ini merupakan pekerja salah sebuah syarikat yang dikuasai `Tuhan Harun’, juga menjadi mangsa ketua kumpulan ajaran sesat itu.

Hujah beliau, `Tuhan Harun’ bukan sekadar penghasut utama dan dalang di sebalik pembunuhan itu. Dia juga pemimpin kumpulan ajaran sesat yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengikutnya termasuk pemohon.

Sementara itu, peguam Muhammad Hasif Hasan yang mewakili Shamsinar berhujah, `Tuhan Harun’ merupakan perancang utama dan bertanggungjawab mengarahkan saksi pendakwaan ke-14 (SP14) supaya menghubungi kedua-duanya sebelum kejadian tersebut.

Peguam turut memohon mahkamah mengambil kira bahawa Sumustapha merupakan anggota polis yang telah berkhidmat selama 16 tahun.

Sebelum ini, ketua kumpulan ajaran sesat, Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai `Tuhan Harun’, juga didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

Bagaimanapun, tuduhan ke atasnya digugurkan pada 26 Ogos 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos 2016 akibat masalah pernafasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya