1MDB ‘tabung ayam’ dana politik Najib

1MDB ‘tabung ayam’ dana politik Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keterangan Datuk Seri Najib Razak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengesahkan keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah ‘tabung ayam’ dana politik bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, keterangan yang dimasukkan sebagai bukti pembelaan oleh pasukan peguam Najib menunjukkan bekas Presiden UMNO itu sendiri menyatakan beliau perlu mencari dana politik bagi mengelakkan lebih ramai ahli Parlimen daripada Barisan Nasional untuk lompat parti.

“Keterangan ini memberikan kepercayaan terhadap keterangan saksi pendakwaan ke-19, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan yang menyatakan 1MDB diwujudkan sebagai dana politik Barisan Nasional.

“Datuk Amhari Effendi Nazaruddin (saksi pendakwaan kelapan yang juga pegawai khas Najib) dalam keterangannya turut menyatakan bahawa 1MDB digunakan sebagai ‘tabung ayam’ dana politik tertuduh,” ujar Ahmad Akram.

Selain itu, pendakwaan menghujahkan adalah tidak wajar Najib meletakkan kesalahan ke atas orang sedangkan beliau sendiri mengakui mengawal dan mempunyai kuasa atas akaun peribadinya.

“Pembelaan telah merujuk kepada keterangan yang diberikan tertuduh (Najib) kepada SPRM bagi menyokong pembelaannya. Keterangan itu bertindak sebagai serampang dua mata terhadap tertuduh.

“Dalam keterangannya, tertuduh mengaku menerima semua wang melalui akaunnya. Tertuduh juga mengaku menggunakan wang-wang tersebut membelanjakan wang tersebut dan cek-cek yang dikeluarkannya sendiri bagi pelbagai tujuan.

“Berdasarkan pengakuannya sendiri, tertuduh (sebenarnya) mempunyai kawalan dan kuasa atas akaunnya dan oleh itu tertuduh tidak boleh menyalahkan orang lain.

“Keterangan yang mendakwa akaunnya dikawal oleh Nik Faisal, Datuk Azlin atau Jho Low tidak boleh diterima,” kata pendakwa raya itu.

Ahmad Akram berkata demikian semasa membalas hujahan pembelaan di akhir kes pendakwaan dalam kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Najib.

Selain itu, berdasarkan tindak tanduk bekas Ahli Parlimen Pekan itu jelas menunjukkan Najib sememangnya mempunyai kepentingan langsung dalam 1MDB.

Berselindung di sebalik samaran, di belakang orang yang hilang dan diragui karektornya namun fakta sebenar ialah Najib dan proksinya yang memainkan peranan di sebalik tabir 1MDB.

“Adalah jelas tertuduh adalah ketua boneka. Kenapa Kerajaan begitu berminat dan menggunakan segala usaha dalam membantu 1MDB dalam permohonan pinjamannya dan pengeluaran bon?

“Semua ini menunjukkan pembuat keputusan utama dalam Kementerian Kewangan yang juga Perdana Menteri iaitu, tertuduh (Najib),” kata Ahmad Akram.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya