1MDB: Najib mohon maaf seminggu sebelum keputusan bela diri

1MDB: Najib mohon maaf seminggu sebelum keputusan bela diri

MOHAMAD Nizar mewakili permohonan maaf secara terbuka bapanya, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seminggu sebelum Mahkamah Tinggi di sini hari ini membuat keputusan sama ada hendak memanggil Datuk Seri Najib Razak membela diri atau tidak bagi kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, bekas Perdana Menteri itu membuat permohonan maaf.

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan rasa terluka kerana penyelewengan itu berlaku ketika dirinya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Najib masih mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah sebaliknya turut ditipu oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama penuhnya, Low Taek Jho.

“(Merujuk kepada) Perbicaraan dan sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di Mahkamah Switzerland dan artikel yang diterbitkan oleh The Edge yang berdasarkan kepada analisa mereka terhadap kes tersebut serta e-mel dalaman PetroSaudi, sekali lagi membuktikan bahawa saya bukanlah dalang dan tidak bersekongkol dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB.

“Saya telah pun dihukum atas tanggungjawab yang telah saya pikul walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada skandal 1MDB dan tidak pernah sekali pun bersekongkol dengan Jho Low,” kata Najib.

Najib, dalam masa sama turut menyatakan kekesalannya dan mengakui bahawa beliau sepatutnya mengambil langkah yang berbeza.

“Apabila timbul kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku di 1MDB, saya sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza. Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan namun saya cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB. 

“Apabila saya mula curiga tentang apa yang sebenarnya berlaku di 1MDB, kebimbangan utama saya adalah kepada kedudukan kewangannya dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dan dua hala di peringkat tertinggi,” katanya.

Tambah Najib, beliau masih terkejut dengan skandal penyelewengan tersebut.

“Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui kini kepincangan, perbuatan yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan serta pelanggaran undang-undang yang telah berlaku di 1MDB,” kata Najib.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas diberi pengampunan oleh Lembaga Pengampunan pada 2 Februari lalu.

Najib pada mulanya dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn. Bhd.

Jumlah denda turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta selepas pengampunan itu diberikan.

Pada 30 Oktober ini, Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan di akhir kes pendakwaan bagi kes penyelewengan dana 1MDB.

Najib didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Najib turut menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN