PUTRAJAYA: Kes 1BestariNet masih lagi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya memerlukan sedikit masa lagi sebelum dapat mengumumkan hasil daripada siasatan yang dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau dan badan penyiasatan itu juga sentiasa memantau siasatan berkenaan kes tersebut dari semasa ke semasa.
“Saya tangguhkan dahulu pengumuman apa yang patut, nanti tunggu sehingga pegawai saya selesai menjalankan siasatannya.
“Saya (juga) sentiasa memantau siasatan ini dari semasa ke semasa jadi buat masa ini, tak payah tanya orang lain, tanya saya sahaja tentang perkembangan (kes) itu, saya rasa buat masa ini saya rasa belum lagi nak umumkan, bagi masa sikit lah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Tahun 2024 di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Pada 18 Oktober lalu, media melaporkan SPRM perlu melihat beberapa isu tatakelola dalam pemberian tender membabitkan projek 1BestariNet sebelum memanggil pihak berkaitan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, SPRM telah mengadakan perjumpaan dengan bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik melibatkan isu berkenaan.
Terdahulu, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.
Difahamkan, siasatan itu bermula selepas SPRM membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara, pada 4 September lalu.
Dalam perkembangan berlainan, Azam berkata, SPRM memantau semua lapangan terbang di negara ini bagi membanteras aktiviti membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, menurut Azam, pihaknya menumpukan pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan penerimaan jumlah pengembara yang paling tinggi di pintu masuk tersebut.
“Cuma yang kita lihat (lapangan terbang) yang paling besar adalah di KLIA, sebab itu kita tumpukan di KLIA kerana KLIA merupakan pusat kemasukan pihak-pihak luar.
“Mungkin ada di tempat-tempat lain, Johor pun ada juga pintu masuk tapi yang besarnya di KLIA, di negeri-negeri berkenaan yang perlu melalui pemeriksaan Imigresen, pemantauan juga dibuat,” katanya. – UTUSAN