KUALA SELANGOR: Seramai 158 orang pengamal media terdiri daripada pemberita, juruvideo dan jurugambar dari pelbagai agensi berita menerima bantuan melalui Tabung Kasih@Hawana, tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, tabung tersebut yang diwujudkan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh, Perak bertujuan membantu golongan tersebut yang sudah bersara atau masih berkhidmat tetapi mengalami keuzuran.
“Kerajaan pada tahun ini memperuntukkan RM1 juta bagi Tabung Kasih@Hawana seperti yang diumumkan pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sambutan Hawana di Kuching, Sarawak pada Mei lalu.
“Untuk tahun ini, kita sasarkan untuk bantu 200 orang pengamal media. Jadi, kita akan bantu lagi pengamal media di seluruh negara,” katanya ketika menziarahi seorang wartawan akhbar Tamil, K. Loganathan di rumahnya di Bestari Jaya, di sini, hari ini.
Tambahnya, setiap penerima akan terima jumlah bantuan yang berbeza mengikut keperluan masing-masing dan kebanyakan penerima bekerja atau tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Sekiranya ada pengamal media yang mahu mohon bantuan daripada bantuan itu, mereka boleh menghubungi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA),” ujarnya.
Sementara itu, Loganathan, 43, ketika ditemui memberitahu dia berhenti daripada menjadi wartawan akhbar Tamil, kira-kira empat tahun lalu selepas alami lemah tangan kanan akibat masalah saraf yang menyukarkannya pergi ke tempat kerja di Kuala Lumpur selain peningkatan kos pengangkutan.
Dia yang kini bergelar orang kurang upaya (OKU) pernah bekerja sebagai penterjemah di dua akhbar Tamil sebelum ini. Kini dia bekerja dengan mengambil upah menulis iklan di sekitar Kuala Selangor sebagai salah satu sumber pendapatan.
“Kini, saya hanya mampu memperoleh angggaran RM300 sahaja sebulan. Jadi, saya amat berjimat dalam perbelanjaan harian.
“Dengan wang bantuan yang diterima melalui Tabung Kasih@Hawana, saya boleh membeli barang dapur untuk saya makan bagi tempoh beberapa bulan,” katanya. – UTUSAN