152 mat rempit dibawa solat subuh berjemaah, tazkirah

152 mat rempit dibawa solat subuh berjemaah, tazkirah

SERAMAI 152 mat rempit yang ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur dibawa solat Subuh berjemaah, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seramai 152 mat rempit yang ditahan polis di Jalan Tun Razak di sini, kelmarin dibawa menunaikan solat subuh berjemaah dan diberi tazkirah.

Kesemua mereka berusia antara 15 hingga 24 tahun ditahan menerusi Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula pukul 11 malam, Sabtu lalu. 

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, operasi  dijalankan secara berperingkat sehingga pukul 5 pagi.

Katanya, pihaknya menyita 68 motosikal daripada 152 motosikal sementara bakinya dikeluarkan saman.

“Dalam operasi itu, seramai 152 orang telah dibawa ke JSPT KL dan diambil tindakan saman, manakala motosikal yang disita dibuat pemeriksaan selanjutnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam masa terdekat.

“Kesemua mereka juga dibawa menunaikan solat subuh berjemaah dan diberikan tazkirah yang memberi fokus ke arah kesedaran tentang keburukan merempit selain keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

“Tazkirah disampaikan oleh Asisten Superintenden Zamri Basiran dan Inspektor Abdullah Hafiz dari Unit Penguatkuasaan JSPT KL,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Menurutnya, pendekatan secara keagamaan dan ilmiah kepada remaja terbabit diharapkan dapat membantu mereka menunjukkan akhlak yang mulia kepada masyarakat.

Jelas beliau, ibu bapa pula disaran memberi lebih perhatian dalam mendidik anak-anak dan menjadikan mereka rakan untuk berkongsi pengalaman dan masalah dihadapi. 

“Ibu bapa juga digalakkan untuk memastikan anak-anak ini tidak terlalu bebas untuk keluar tengah malam tanpa alasan munasabah terutama sekali bagi remaja perempuan.

“Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan fokus mereka terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang lalu lintas,” ujarnya.

Tegasnya, pihak JSPT sentiasa menjalankan operasi yang melibatkan kenderaan selain motosikal dan tiada kompromi bagi kesalahan melibatkan samseng jalanan untuk memastikan keselamatan pengguna lain terjaga dan tindakan akan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesalahan yang kerap kali berlaku adalah aktiviti merempit dan berlumba sesama sendiri, ubah suai motosikal antaranya melibatkan tayar dan ekzos,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya