KUALA TERENGGANU: Seramai 15,000 pegawai dan anggota termasuk petugas sukarela Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap siaga menjalankan penugasan Op Ramah di 5,648 kawasan berisiko banjir di seluruh negara.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pasukan Op Ramah akan melakukan rondaan bermotosikal di lokasi termasuk kawasan perkelahan dan rekreasi untuk memberi peringatan serta nasihat supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.
“Walaupun belum ada tanda-tanda banjir, APM tidak boleh rehat dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.
“Penugasan Op Ramah kali ini akan ditumpu kepada kawasan berisiko dijangkakan oleh agensi-agensi teknikal. Sebab kita juga berpandukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Apresiasi Penyerahan Watikah Pegawai Kehormat/Bersekutu dan Penganugerahan Pingat, Reben Perkhidmatan dan Sijil APM Negeri Terengganu 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah APM negeri, Mohd. Zul Khairi Shamsuddin.
Dalam perkembangan lain, Aminurrahim memberitahu, terdapat 192 kekosongan pelbagai jawatan dalam APM di seluruh negara.
Menurutnya, pada masa ini, jumlah kakitangan tetap APM pula kira-kira 700 orang.
“Sebelum kita memohon 1,500 pengambilan bagi semua penjawatan tetap dan 302 telah diluluskan,” katanya. – UTUSAN