15 pelajar B40 bertuah dipilih sertai program HEIEP di Jepun

15 pelajar B40 bertuah dipilih sertai program HEIEP di Jepun

SERAMAI 15 pelajar sekolah menengah yang terpilih menyertai HEIEP 2024 bergambar kenangan di LTAPP sebelum berlepas ke Osaka, Jepun, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 15 pelajar sekolah menengah dari keluarga B40 di negeri ini terpilih untuk mengikuti Program Hibrid Pendidikan dan Pengalaman Antarabangsa (HEIEP) 2024 anjuran USAINS Group, dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

Program tersebut mendapat kerjasama daripada dua buah universiti iaitu Setsunan University serta Keiko High School dan kesemua pelajar terlibat berlepas ke Osaka, Jepun untuk mengikuti program berkenaan hari ini.

Seorang peserta program, Arisa Danilla Azly, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Hassan Noh berkata, dia teruja apabila mendapat tahu terpilih untuk menyertai HEIEP 2024.

Anak kepada seorang nelayan itu memberitahu, dia tidak pernah menaiki kapal terbang dan tidak pernah ke luar negara sebelum ini.

“Saya mahu melihat budaya masyarakat di Jepun. Selain itu, saya juga mahu menunjukkan budaya Malaysia di sana. Jadi, saya merancang untuk membuat persembahan silat gayung serta menunjukkan keunikan permainan tradisi seperti Batu Seremban dan tarian dikir puteri kepada masyarakat Jepun,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta, Syahdan Norezan, 15, pula berkata, dia mengalami demam selama seminggu selepas mendapat tahu dirinya terpilih untuk menyertai program berkenaan.

“Saya sangat gembira kerana bukan semua orang mendapat peluang keemasan seperti ini. Saya akan mempelajari budaya pembelajaran di Jepun dan kemudian menceritakannya kepada rakan-rakan lain di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan USAINS Group, Farid Wajidi Mat Yusoff berkata, program HEIEP 2024 itu dijangka merevolusikan pendidikan sekolah menengah rendah dengan menggabungkan kaedah pembelajaran hibrid bersama pengalaman antarabangsa.

“Melalui HEIEP 2024 ini, para pelajar akan mengambil bahagian dalam pelbagai modul dalam talian yang melengkapkan pembelajaran dalam bilik darjah selain menawarkan peluang baharu untuk perkembangan akademik dan peribadi.

“Pada masa yang sama, HEIEP 2024 ini juga bertujuan merapatkan jurang pendidikan dengan memberikan peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk pembangunan akademik dan pendedahan kepada kemajuan global serta dalam bidang pendidikan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik),” katanya.

Jelas Farid Wajidi lagi, HEIEP 2024 turut memberi fokus kepada peningkatan kemahiran sosioemosi pelajar serta membantu mereka untuk menjadi warga negara global.

“Melalui perjalanan dan interaksi dengan rakan sebaya dari negara-negara antarabangsa, pelajar akan memperolehi pengalaman silang budaya berharga yang akan melengkapkan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab dan peka terhadap dunia global,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya