GEORGE TOWN: Seramai 15 warga asing termasuk dua wanita ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, semalam.
Operasi itu dijalankan di 18 lokasi berasingan di sekitar Bayan Lepas, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Perai dan Seberang Jaya.
Jurucakap JIM negeri berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, India, Thailand dan Pakistan.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, ada yang sedang bekerja di stesen minyak, kedai makan, kedai pakaian, kedai gunting rambut dan pondok pengawal.
“Semua yang ditangkap telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan di sini.-UTUSAN