14 rangkaian pengedar aksesori telefon tiruan diserbu KPDN

14 rangkaian pengedar aksesori telefon tiruan diserbu KPDN

SEJUMLAH 14 buah premis berasingan di sembilan negeri diserbu KPDN kerana disyaki menjual pelbagai jenis aksesori telefon bimbit tiruan. - GAMBAR KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 14 buah premis berasingan di sembilan buah negeri diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana disyaki menjual pelbagai jenis aksesori telefon bimbit tiruan pada minggu lalu.

Serbuan itu melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang dengan nilai rampasan sekitar RM65,000.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan hasil aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar berkaitan serta risikan awal KPDN.

Katanya, hasil maklumat awal diperoleh, kesemua premis terbabit disyaki membekalkan aksesori telefon bimbit tiruan dengan berselindung di sebalik syarikat yang membekalkan aksesori telefon asli.

“Ia melibatkan pemilikan oleh syarikat yang sama di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, KPDN menemukan sejumlah 2,600 unit pelbagai jenis aksesori telefon bimbit yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua aksesori telefon bimbit tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan.

Katanya, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan
kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

“KPDN ingin memberikan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan yang tidak mendapat kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ia merupakan suatu kesalahan serius.

“Selain itu, pengguna turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong
aktiviti penjualan barangan tiruan kerana boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara serta dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengguna itu sendiri,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya