GERIK: Kesemua 14 individu dari empat kenderaan yang dirosakkan sekumpulan gajah liar di Kilometer 11, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam, dilaporkan selamat.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kesemua pemandu dan penumpang berusia antara 23 hingga 55 tahun itu juga tidak mengalami kecederaan meskipun kenderaan dinaiki mereka rosak di beberapa bahagian.
Katanya, kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu adalah sebuah kereta jenis Perodua Alza, Toyota Innova, Honda Jazz dan Proton Persona.
“Kejadian berlaku pada pukul 9.15 malam ketika kesemua kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Jeli, Kelantan ke Gerik.
“Setibanya di lokasi kejadian, mereka ternampak sekumpulan gajah liar di atas jalan raya dan segera memberhentikan kenderaan.
“Setelah beberapa ketika, kumpulan gajah itu mula beredar masuk ke dalam hutan namun beberapa ekor gajah yang tinggal, menghampiri kenderaan terlibat lalu merosakkan dengan cara menggesel dan menghempap,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua kenderaan berkenaan mengalami pelbagai kerosakan termasuk kemek pada bahagian hadapan, belakang, sisi kanan dan kiri.
“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah dimaklumkan berhubung kejadian itu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, kumpulan gajah antara 25 hingga 30 ekor itu telah dihalau oleh Unit Tindakan Gajah (UTG) Gerik masuk semula ke dalam hutan.
Katanya, kawanan gajah itu merupakan gajah liar daripada ID Kumpulan Temengor yang menjadikan Hutan Simpan Temengor sebagai kawasan keliaran.
“Lapan kakitangan UTG Gerik ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran Tugu Peringatan JRTB bagi membuat tindakan tembak dan halau haiwan itu masuk semula ke dalam hutan,” katanya. – UTUSAN