137 Orang Asli dibenar cabar penukaran agama kepada Islam

137 Orang Asli dibenar cabar penukaran agama kepada Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan 137 Orang Asli mencabar penukaran agama mereka kepada Islam yang didakwa dilakukan menyalahi undang-undang lebih 30 tahun lalu. 

Hakim yang mempengerusikan panel rayuan, Datuk S. Nantha Balan mengarahkan saman Orang Asli suku Bateq Mayah itu diremit ke Mahkamah Tinggi Kuantan. 

Hakim S. Nantha berkata, saman itu perlu didengar kerana melibatkan dakwaan sangat serius dan skandal penukaran agama.

“Di sini, mereka (perayu Orang Asli) bercakap tentang hak asasi dan hak Orang Asli dan hak ke atas tanah nenek moyang yang tidak dilindungi.

“Tuduhan ini mungkin palsu, tiada siapa mengatakan bahawa apa sahaja yang didakwa telah terbukti.

“Ini hanya pengakuan (dalam saman itu) tetapi dalam kes biasa, ia tidak boleh dibatalkan (begitu sahaja),” katanya dalam prosiding dijalankan hari ini. 

Dua panel hakim yang bersidang bersama-sama ialah Datuk Dr. Choo Ka Sing dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Firma guaman Seira & Sharizad mewakili plaintif Orang Asli, manakala Jabatan Peguam Negara (AGC) mewakili kerajaan Persekutuan.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan dan lima defendan lain membatalkan tindakan sivil itu tanpa mendengar meritnya.

Lima lagi defendan ialah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), pengarah dan pegawainya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (MUIP).

Mahkamah Rayuan kemudian memerintahkan tindakan sivil itu diserah kepada Mahkamah Tinggi Kuantan untuk mendengar semula permohonan defendan.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan lanjutan masa Orang Asli untuk memfailkan afidavit bagi menentang permohonan pembatalan itu.

Perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Tinggi pada 12 November ini. 

Difailkan pada 28 Sept 2022, saman itu mendakwa penukaran agama secara salah itu dilakukan di rumah Orang Asli di Kampung Benchah Kelubi, Merapoh, Kuala Lipis, Pahang, pada April 1993.

Dokumen mahkamah menyatakan, plaintif mendakwa, 57 daripada plaintif bertukar agama semasa kejadian dan baki plaintif adalah kanak-kanak yang dilahirkan kemudian dan mempunyai perkataan Islam pada kad pengenalan kerana keturunan mereka.

Plaintif mendakwa pada awal tahun 1993, dua ketua kampung diminta oleh wakil Jakoa bukan sahaja memeluk agama Islam tetapi juga meminta penduduk kampung lain berbuat demikian.

Mereka mendakwa apabila penduduk kampung enggan berbuat demikian, seorang pegawai dari jabatan itu melawat kampung itu dan mengeluarkan beberapa ugutan untuk memastikan penukaran agama mereka.

Ancaman itu termasuk penduduk kampung tidak akan dibenarkan tinggal di kampung itu, rumah dan tanaman mereka dimusnahkan dan akan dihalau serta diseksa jika lari ke pergunungan.

Plaintif mendakwa penduduk kampung tidak dimaklumkan tentang implikasi undang-undang memeluk Islam iaitu mereka akan tertakluk kepada rangka kerja perundangan Islam Pahang dan anak yang dilahirkan kepada mereka secara automatik beragama Islam.

Mereka mendakwa tidak menganut atau mengamalkan Islam berikutan penukaran agama beramai-ramai itu dan terus memeluk kepercayaan budaya dan agama Bateq Mayah.

Selepas tahun 2000 apabila lebih ramai penduduk kampung belajar bercakap asas Bahasa Malaysia, mereka kemudian mednakwa, menyedari perkataan ‘Islam’ tertera pada kad pengenalan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya