12 tuduhan salah guna wang infak, Alif Teega dibicara di Shah Alam

12 tuduhan salah guna wang infak, Alif Teega dibicara di Shah Alam

ALIF TEEGA ditemani Aisyah Hijanah Azhari hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes salah guna wang infak. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes pempengaruh popular, Alif Teega yang menghadapi dua pertuduhan menyalahgunakan wang infak berjumlah RM63,605, akan didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam bersama-sama 10 pertuduhan serupa melibatkan wang RM1.52 juta.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini memindahkan kedua-dua pertuduhan  ke Shah Alam untuk perbicaraan bersama dan menetapkan Rabu ini untuk sebutan.

Hakim Azura Alwi menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaluddin.  Permohonan itu tidak dibantah oleh peguam Mohd. Shahrullah Khan yang mewakili tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan jaminan RM50,000 terhadap Alif Teega atau nama sebenarnya, Mohd. Hazalif Mohd. Hazani, 30, dilanjutkan serta mengarahkan jaminan itu di pindahkan ke Shah Alam.

Terdahulu, Julaila memaklumkan hari ini ditetapkan untuk serahan dokumen sebelum mengemukakan permohonan agar perbicaraan kes dipindahkan ke sana mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Mohd. Shahrullah turut memohon tarikh awal untuk sebutan di Shah Alam bagi membolehkan pihaknya memohon pemulangan pasport sementara yang kini disimpan oleh mahkamah sebagai syarat jaminan.

Di Kuala Lumpur, Alif Teega didakwa pada 20 September lalu atas pertuduhan pertama menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar di Mekah, Syria, Palestin.

Untuk pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang RM27,558.13 bagi tujuan JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank, KL Gateway, Jalan Kerinci, di sini pada 26 April dan 15 Jun lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda.

Pada 23 September lalu, Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta tiga tahun lalu.

Sebutan semula kes pada 27 November ini.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, pasangan tersebut didakwa mencapai niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM1,526,372.16 juta. Jumlah paling besar adalah RM425,890.64, manakala jumlah terkecil RM438.38.

Wang tunai itu antaranya bagi tujuan infak Projek Kurma, al-Quran di Masjidil Haram dan Nabawi, pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah, bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu (Set pakaian muslimah), set pakaian pakaian raya anak yatim serta sedekah pek makan dan sedekah qurban.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di bank CIMB dan Maybank di Seksyen 8 dan 9, Bandar Baru Bangi pada 11 Mei 2021 hingga 2 Julai 2024 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN