KUALA LUMPUR: Sejumlah 113 projek perumahan swasta terbengkalai meliputi 30,371 unit rumah dan 15,952 pembeli setakat 30 September 2024.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, dalam isu tersebut, menteri boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan khusus di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).
“Menerusi Akta 118, menteri boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 11 (1), di mana menteri boleh mengambil sebarang tindakan seperti mana yang termaktub dalam Perenggan A sehingga E, sekiranya pengawal perumahan berpendapat bahawa pemaju perumahan berlesen telah tidak dapat memenuhi obligasi kepada para pembeli rumah atau akan menggantungkan pengendalian pembinaannya ataupun menjalankan perniagaannya dengan cara yang memudaratkan pembeli.
“Kedua, mengambil tindakan di bawah Seksyen 11(ca) di mana menteri boleh mengesahkan sesuatu projek adalah terbengkalai apabila sesuatu projek tidak disiapkan atau di luar tempoh perjanjian luar beli atau tiada sebarang aktiviti ketara berlaku di tapak pembinaan selama enam bulan secara berterusan.
“Dan Seksyen 12 di mana menteri boleh memberikan apa-apa arahan yang difikirkan patut dan sesuai bagi maksud memastikan pematuhan akta ini dan apa-apa arahan yang berkaitan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Aiman berkata, di samping tindakan sedia ada, KPKT juga sedang memperhalusi Akta 118 bagi memperkukuh tindakan kawalan yang lebih baik, pencegahan awal serta tindakan jangka masa panjang bagi mengelak projek perumahan swasta menjadi sakit dan akhirnya terbengkalai
“Antara pindaan yang akan dilaksanakan adalah menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi mana-mana pemaju dan ahli lembaga pengarah yang telah disenaraihitamkan.
“Selain itu, maklumat pemaju dan pemajuan yang terlibat terbengkalai atau bermasalah juga akan dipaparkan di dalam sistem data bank perumahan negara (TEDUH) sebagai rujukan kepada pihak berkepentingan seperti pembeli dan pihak bank pembiaya,” katanya.
Tambahnya, setakat 30 September 2024, 14 projek swasta terbengkalai melibatkan 1,900 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 574.79 juta telah berjaya dipulihkan dan dilaksanakan melalui pemantauan Taskforce Projek Swasta Sakit dan Terbengkalai. – UTUSAN