11 kabin untuk guru KAFA disediakan di Kedah

11 kabin untuk guru KAFA disediakan di Kedah

ABD. Ghani Zainuddin (kiri) meninjau projek kabin guru KAFA selepas majlis penyerahan di SK Pokok Sena.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) melalui Baitumal telah menyediakan 11 kabin untuk guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dengan peruntukan sebanyak RM244,035 setakat ini.

Setiausaha MAIK, Datuk Dr Abd Ghani Zainuddin berkata, usaha itu sebahagian langkah membela nasib guru-guru itu bagi memastikan mereka mempunyai tempat mengajar yang selesa di sekolah.

“Kita mendengar banyak guru-guru KAFA ini tidak mempunyai bilik guru sendiri malah ada yang menggunakan setor dan terpaksa duduk di tempat yang terhad.

“Projek ini bermula pada 2022 di Sekolah Kebangsaan (SK) Belukar di Padang Terap dan diteruskan di SK Sri Gunung, SK Telok Kechai, SK Kurong hitam dan terbaru di SK Pokok Sena,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Kabin Guru Kafa di SK Pokok Sena, di sini hari ini.

Beliau berkata, inisiatif menyediakan kabin itu dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan melibatkan wang tidak patuh syariah iaitu harta yang diperolehi melalui cara yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti harta syubhah, dividen konvensional dan lain-lain.

“Harta tersebut tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan dan dilupuskan bagi tujuan maslahah umum atau kepentingan awam,” katanya.

Sementara itu, guru penyelaras KAFA SK Pokok Sena, Siti Aisyah Ahmad berkata, guru di sekolah itu terpaksa berkongsi dengan kelas pemulihan sebelum ini, sekali gus menyukarkan mereka untuk menyimpan fail pelajar dan pelbagai peralatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya