100 penduduk terputus hubungan akibat banjir di Sungai Siput - Utusan Malaysia

100 penduduk terputus hubungan akibat banjir di Sungai Siput

MOHD. Zolkafly Harun (kanan) bersama penduduk yang terjejas banjir di Sungai Siput. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kira-kira 100 penduduk di dua perkampungan Orang Asli dekat sini terputus hubungan selepas jalan menuju ke penempatan mereka ditenggelami air banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, keadaan itu menyebabkan proses pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong mengalami sedikit kesukaran.

Katanya, penduduk yang terjejas ialah dari Kampung Orang Asli Jong dan Kampung Orang Asli Chenein.

“Kedua-dua kampung ini terputus hubungan dengan pihak luar kerana laluan ke perkampungan mereka telah ditenggelami air.

“Jadi sekarang ini, kita sedang fikirkan bagaimana caranya untuk membawa bantuan terutama makanan kepada penduduk di sana.

“Buat masa sekarang, mereka gunakan dewan di perkampungan itu tapi kita tahu keadaannya serba kekurangan. Kita akan ambil tindakan sewajarnya untuk membantu mereka,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir di sini hari in.

Menurut Mohd. Zolkafly, satu pelan tindakan sedang diatur bersama jabatan dan agensi terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan penduduk Orang Asli yang terjejas banjir mendapat bantuan sewajarnya.

“Buat masa ini paling penting adalah memastikan semua mangsa mendapat bekalan makanan, bantuan-bantuan lain akan diusahakan secepatnya,” katanya.

Hujan lebat dan berterusan selama hampir 12 jam sejak pukul 6.30 petang semalam, mengakibatkan puluhan keluarga di Kampung Lasah, Kampung Lintang, Kampung Orang Asli Jong dan Kampung Orang Asli Chenein terjejas akibat banjir.

Sehingga pukul 6 petang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, 34 keluarga membabitkan 96 mangsa dari Kampung Lasah dan Kampung Tok Sirat telah selamat dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah.

Proses pemindahan dan dokumentasi masih dilakukan bagi mangsa banjir di kawasan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya