KUALA LUMPUR: Kegiatan wanita Indonesia yang menyalahgunakan pas pelancong untuk menjalankan aktiviti pelacuran di ibu negara terbongkar apabila ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.
Serbuan Op Noda #KLStrikeForce itu dilakukan di Jalan Petaling serta Jalan Lebuh Pudu kira-kira pukul 10 malam.
Operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang diketuai Asisten Superintenden Saifulazhar Abd Khodir.
Ketika operasi, pihak polis terpaksa memotong pengunci premis untuk masuk.
Malah, terdapat beberapa lelaki warga asing cuba masuk ke premis tersebut dipercayai untuk melanggan pelacur namun melarikan diri selepas melihat kehadiran polis.
Tinjauan juga mendapati premis pelacuran itu menggunakan pintu besi selain berada di bangunan yang sedikit usang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, seramai 10 wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 30-an telah ditahan dalam operasi itu.
Katanya, pihak polis turut merampas kondom, botol minyak pelincir, tisu serta wang tunai.
“Siasatan awal mendapati kegiatan pelacuran di premis yang mula beroperasi bermula pada 5 petang itu mengenakan bayaran kira-kira RM40 hingga RM50 bagi khidmat seks wanita terbabit.
“Wanita (pelacur) disyaki masuk sebagai pelancong serta menjalankan kegiatan pelacuran jalanan secara ‘freelance’,” katanya.
Justeru, menurut Rusdi, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membuat pemeriksaan terhadap wanita terbabit berkaitan pergerakan keluar masuk ke Malaysia.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.- UTUSAN