10 kontena bantuan milik rakyat Malaysia berjaya tembusi Gaza

10 kontena bantuan dari rakyat Malaysia berjaya tembusi Gaza

SEBANYAK 10 daripada 100 buah kontena di bawah Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia Dari Kaherah Ke Gaza akhirnya berjaya memasuki bumi Gaza. - GAMBAR IHSAN MAPIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas enam bulan menunggu, 10 daripada 100 buah kontena di bawah Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia Dari Kaherah Ke Gaza akhirnya berjaya memasuki bumi Gaza, bulan lalu.

Ketibaan 10 buah kontena di Gaza itu menjadikan ia bantuan kemanusiaan pertama milik rakyat Malaysia yang berjaya menembusi bumi Gaza sejak serangan Israel di Gaza, sejak 7 Oktober 2023.

Lebih manis, bantuan berisi tepung gandum, kotak bantuan, yis, ubat-ubatan dan kit penjagaan diri sudah pun tiba di tangan penduduk Gaza, malah gandum yang diterima juga sudah diadun menjadi roti untuk dimakan.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Sany Araby yang juga Ketua misi bantuan itu.

Sany berkata, dua buah kontena berjaya dibawa awal bulan lalu, malah lapan lagi dibawa masuk Jumaat lalu menerusi Rafah dan Karem Al-Shalom.

“Alhamdulillah, amanah yang besar dari rakyat Malaysia berjaya masuk ke bumi Gaza selepas melalui tempoh yang saya kira sangat mendebarkan.

“Hampir tiga bulan lamanya kita menantikan kelulusan untuk berjaya masuk dan kita agak teruja dan sangat-sangat bersyukur. Saya kira ini adalah doa daripada seluruh rakyat Malaysia.

“Kita telah pun menerima laporan, gambar, video dan sebagainya bahawa bantuan itu telah pun diterima dan dinikmati penduduk Gaza,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Pelepasan Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah anjuran Mapim di sini, hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan, guni gandum dan kotak bantuan serta kit penjagaan diri yang diagihkan itu tertera lambang Malaysia.

Sany berkata, beliau juga difahamkan, baki 90 buah kontena dijangka dibawa masuk dalam tempoh sebulan menerusi laluan darat dari Jordan.

“Kita sudah pun berurusan sejak dua bulan lalu. Kita doakan dalam sebulan lagi akan ada berita baik yang mungkin akan kita hebahkan,” katanya.

Misi bantuan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Mac lalu membabitkan 100 kontena merangkumi 1,358 tan barangan terdiri pelbagai sumbangan ke Gaza. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN