1.87 juta rakyat Perak dapat manfaat Jualan Rahmah - Utusan Malaysia

1.87 juta rakyat Perak dapat manfaat Jualan Rahmah

KAMALUDDIN Ismail (tengah) pada sesi walkabout SHMMP Deepavali 2024 di sebuah kompleks beli belah di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Program Jualan Rahmah (PJR) yang dilaksanakan di seluruh negara telah memberi manfaat kepada 1.87 juta rakyat di Perak.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, angka yang direkodkan bermula tahun lalu hingga hari ini, membabitkan 1,202 PJR di seluruh negeri.

Katanya, dalam tempoh itu juga, nilai jualan barangan yang direkodkan adalah berjumlah RM64.18 juta.

“Pada tahun lalu, sebanyak 508 program dilaksanakan dengan penerima manfaat seramai 800,754 orang membabitkan nilai jualan sebanyak RM19.95 juta.

“Jumlah itu meningkat sebanyak 36 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini dari segi nilai jualan barangan apabila merekodkan RM44.23 juta yang diperoleh menerusi 694 program dengan penerima manfaat seramai lebih 1.06 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pada sesi walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai SHMMP, Kamalludin berkata, seramai 169 penguat kuasa dan 70 Pegawai Pemantau Harga akan digerakkan bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan bermula hari hingga 3 November depan.

Katanya, sebanyak lapan jenis barangan ditetapkan harga maksimum antaranya daging kambing biri-biri bertulang import, bawang merah, kacang dal, kelapa parut dan biji, tomato serta cili merah.

“Pemeriksaan berterusan dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik antaranya pasar awam, pasar tani dan pusat membeli belah barangan keperluan perayaan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya