1.42 juta tempat duduk untuk Sabah, Sarawak, Labuan

1.42 juta tempat duduk untuk Sabah, Sarawak, Labuan

HASBI Habibollah semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1.42 juta tempat duduk disediakan oleh syarikat penerbangan bagi laluan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Malaysia Airlines (MAB) telah mengurangkan sebanyak 95,906 tempat duduk bermula Ogos lalu.

Bagaimanapun beliau berkata, syarikat penerbangan Air Asia, Air Asia X dan Batik Air telah menambah kapasiti sebanyak 139,578 tempat duduk bagi menampung kekurangan berkenaan.

“Bagi pengguna yang terjejas akibat daripada pembatalan penerbangan MAB, penumpang akan diperuntukkan semula tiket penerbangan pada sehari sebelum atau selepas penerbangan asal, atau penerbangan berikutnya yang tersedia.

“Pemilihan pertama peruntukan semula adalah kepada mana-mana penerbangan Malaysia Airlines yang tersedia.  Peruntukan tiket baharu menggunakan syarikat penerbangan yang lain akan disediakan sekiranya penerbangan MAB tidak tersedia.

“Pembatalan sementara bagi penerbangan yang terjejas dari bulan Ogos hingga Disember 2024 sudah dimaklumkan kepada para penumpang dan segala proses pemakluman itu kebanyakannya telah selesai. 

“Pada ketika ini, MAB beroperasi seperti biasa dan hanya membatalkan penerbangan apabila berlaku force majeur iaitu apabila keperluan untuk membatalkan penerbangan jika ia melibatkan keselamatan berpunca dari cuaca buruk atau nasihat dari penguatkuasa penerbangan tempatan dan antarabangsa di antara laluan udara tertentu,” katanya sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai sejauh manakah pengurangan penerbangan Malaysia Airlines mendatangkan kesan kepada pengguna dan alternatif serta pemantauan bagi memastikan kos tiket penerbangan tidak membebankan pengguna khususnya penduduk Sabah dan Sarawak yang banyak bergantung kepada pengangkutan udara.

Tambah Hasbi, syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menambah kapasiti penerbangan dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan.

“Bagi mendapatkan harga tiket yang murah khususnya semasa musim perayaan, pengguna adalah digalakkan untuk membeli tiket penerbangan seawal mungkin. 

“Kebiasaannya, syarikat penerbangan akan mula menjual tiket seawal sembilan bulan sebelum tarikh penerbangan. Apabila harga tiket disemak satu atau dua minggu sebelum tempoh perjalanan, harga tiket kebiasaannya sudah tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Bn-Kinabatangan) yang menyatakan sama ada Kementerian bercadang untuk menetapkan harga tambang (threshold) bagi tambang kapal terbang terutamanya semasa musim perayaan, bagi penerbangan domestik ke Sabah dan Sarawak memandangkan tambang mahal boleh menjejaskan industri pelancongan di Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya