Zon Bebas Kenderaan MBMB dapat dua pengiktirafan MBOR

Zon Bebas Kenderaan MBMB dapat dua pengiktirafan MBOR

AB. Rauf Yusoh menunjukkan dua anugerah MBOR yang diterima pada Majlis Pelancaran Setahun Zon Bebas Kenderaan@Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) tempoh terpanjang penutupan jalan selama 55 jam bagi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan dan Stesen Pertolongan Cemas di Zon Bebas Kenderaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, dua anugerah tersebut menunjukkan MBOR telah menilai keberkesanan terhadap dasar zon berkenaan yang berjaya meningkatkan sosio ekonomi rakyat di negeri ini.

Menurutnya, berdasarkan kajian juga menunjukkan pelaksanaan zon tersebut telah memberi impak positif kepada alam sekitar sepanjang tempoh 55 jam jalan ditutup bermula dari Jumaat hingga Ahad setiap minggu.

Beliau berkata, sejak dilaksanakan ia telah dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain untuk mewujudkan Kawasan Bebas Kenderaan seperti yang akan dilakukan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Katanya, warga maya di laman sosial telah membuat satu petisyen menyokong agar Jalan Bukit Bintang dijadikan Zon Bebas Kenderaan seperti yang dilakukan di Banda Hilir yang mampu meningkatkan sektor pelancongan.

“Meskipun pada awal pelaksanaannya kita menerima rungutan dan kecaman daripada pelbagai pihak alhamdulillah, hari ini kita membuktikan impak positif dengan merekodkan 1.7 juta orang di mana purata lebih 30,000 pengunjung dan pelancong pada setiap minggu.

“Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada MBMB atas pencapaian ini mendapat dua pengiktirafan daripada MBOR,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Setahun Zon Bebas Kenderaan@Banda Hilir di sini hari ini.

Ab. Rauf berkata, dalam tempoh sebulan kehadiran 100,000 pelancong telah menunjukkan bahawa indikator kepada ekonomi peniaga di sekitar Banda Hilir telah memberikan pulangan yang baik kepada mereka.

Jelasnya, kira-kira 195 peniaga Uptown Pahlawan Walk kini berpuas hati apabila mereka dipindahkan ke penempatan semula di Jalan Tun Khalil Yaakob.

“Kita komited meningkatkan kualiti tempat berniaga serta pelbagai program kebudayaan bagi meraikan para pengunjung menikmati kebebasan suasana pelancongan tanpa kenderaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN