IPOH: Ketua jurulatih Perak FC, Mohd Yusri Che Lah gembira dengan kemenangan 1-0 anak buahnya ke atas Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak kelmarin.
Walaupun hanya kemenangan tipis, Mohd. Yusri tetap menyifatkan ia kemenangan penting dalam menaikkan moral anak buahnya.
“Tidak kiralah dengan berapa gol kami menang, yang penting kami mengutip mata penuh.
“KL FC bukan calang-calang pasukan, mereka mempunyai pemain yang cukup pengalaman,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Menurutnya, kejayaan Perak adalah hasil kesungguhan setiap pemain yang menunjukkan semangat yang tinggi untuk mengutip mata penuh.
Yusri berharap kemenangan itu memberikan semangat kepada anak buahnya sebelum pertemuan dengan Pahang FC.
“Perak mempunyai tugas mencalar apabila bertandang ke Temerloh nanti kerana Sri Pahang juga semakin menunjukkan peningkatan.
“Lebih penting kami akan menghadapi perlawanan mencabar kerana akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas itu,” katanya.
Sementara itu, pengendali skuad warga kota, Miroslav Kaljanac bimbang dengan kecederaan pemain tonggak Kuala Lumpur City, FC dalam saingan Liga Super.
Menurutnya, ketiadaan tonggak seperti Paulo Josue dan Mohd Hakimi ternyata menjejas persembahan pasukan pada aksi kelmarin.
“Kami memang terasa ketiadaan mereka tapi tidak ada apa yang boleh dilakukan. Ia perkara biasa dalam bola sepak,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, jaringan tunggal perlawanan menerusi Luka Milunovic pada minit ke-61 memberikan kemenangan pertama Perak FC di tempat sendiri. – UTUSAN