IPOH: Yayasan Telekom Malaysia (YTM) menyerahkan sumbangan berjumlah RM3.5 juta kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam usaha memartabatkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Sumbangan yang diserahkan melalui pelancaran Yayasan TM TVET Madani @POLYCC itu merangkumi penyediaan kemudahan pembelajaran mengikuti spesifikasi industri seperti makmal digital dan makmal fiber.
Selain itu pelajar POLYCC juga diberi latihan kemahiran digital menggunakan modul-modul yang terkini dan pensijilan profesional yang diiktiraf industri memfokuskan bidang seperti ‘cybersecurity’, ‘cloud computing’, fiber dan ‘software testing’ dengan objektif melahirkan tenaga kerja yang tersedia dan menepati keperluan transformasi digital negara.
Sumbangan yang diberikan Yayasan TM itu juga dilihat dapat menyokong dasar KPT menerusi lima fokus yang digariskan bagi tahun ini antaranya Penyediaan Bakat Terbaik Negara dan Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu.
Pelancaran Yayasan TM TVET Madani @POLYCC itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, semalam.
Turut mengiringi Zambry bagi menyempurnakan majlis pelancaran itu ialah Pengerusi Yayasan TM, Dato’ Zainal Abidin Putih dan Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail berkata, kerjasama yang terjalin antara politeknik, kolej komuniti dan rakan industri telah membuahkan banyak kejayaan.
Katanya, program-program latihan industri, penyelidikan bersama dan inisiatif pemindahan teknologi adalah antara contoh bagaimana kolaborasi ini memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua belah pihak.
“Graduan kita bukan sahaja memperoleh pengetahuan dan kemahiran teknikal yang relevan tetapi juga keyakinan dan pengalaman praktikal yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan yang sebenar.
“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak industri kepada politeknik dan kolej komuniti di bawah naungan JPPKK.
“Hubungan sinergi ini adalah bukti nyata bahawa usaha bersama mampu mengangkat mutu pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih tinggi, sekaligus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti” katanya.
Tambah beliau, kebolehpasaran pelajar politeknik mencatat 97.1 peratus pada tahun 2023 dan menarik lebih 30 ribu pelajar bagi ambilan baru-baru ini.
“Kejayaan besar ini merupakan hasil sokongan padu 19,000 industri yang sentiasa memberi sokongan yang tidak pernah jemu sama ada dalam bentuk tajaan peralatan, biasiswa, penempatan latihan industri, perkongsian kepakaran dan banyak lagi,” ujar beliau. – UTUSAN